Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Sebahagian kereta dan motosikal ditunggang warga asing yang disita Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) pada Ops Pewa di sekitar Seberang Jaya hari ini. Foto: TVS

Warga asing semakin berani, pandu kereta tanpa lesen

BUTTERWORTH, 7 Feb: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengesan taktik lebih berani sebahagian pekerja warga asing memudahkan pergerakan mereka apabila didapati memandu kereta secara haram berbanding menggunakan motosikal sebelum ini.

Tindakan itu dikesan JPJ Pulau Pinang pada Ops Pewa yang diadakan selama kira-kira empat jam bermula jam 7 pagi di sekitar Seberang Jaya di sini hari ini.

Pada operasi itu, empat buah kereta dan 16 buah motosikal telah disita selain 43 saman membabitkan pelbagai kesalahan terutamanya tiada lesen memandu dikeluarkan.

Pengarah JPJ Pulau Pinang, Adenan Md. Isa berkata, pihaknya mendapati segelintir warga asing semakin berani apabila dikesan memandu kereta untuk bergerak atau ke tempat kerja berikutan operasi pihaknya sebelum ini menyasarkan warga asing yang menunggang motosikal.

Sebahagian motosikal ditunggang warga asing yang disita Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) pada Ops Pewa di sekitar Seberang Jaya hari ini. Foto: TVS

“Pemeriksaan ke atas kereta yang dipandu warga Bangladesh, Rohingya, Indonesia dan Pakistan itu juga didapati tiada cukai jalan serta insurans.

“Ini akan mengundang bahaya dan risiko kepada mereka serta pengguna jalan raya lain,” katanya kepada pemberita hari ini.

Tambah Adenan, siasatan mendapati warga asing terbabit membeli kereta jenis Toyota Vios, Hyundai serta Proton Waja dan Wira terpakai itu dipercayai menggunakan dokumen warga tempatan yang dikenali mereka.

“Ia termasuk juga kebanyakan motosikal yang ditunggang warga asing yang dibeli menggunakan cara sama.

“Pemilik (dokumen) kenderaan itu juga boleh dikenakan tindakan dan kenderaan mereka boleh disita mengikut Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 jika didapati bersalah,” katanya lagi.

Justeru, beliau menasihati pemilik kenderaan agar tidak membenarkan kenderaan persendirian mereka digunakan oleh warga asing yang tidak memiliki lesen memandu dan lesen kenderaan barangan. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan