Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Dato Sri Fatimah Abdullah bercakap pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Gelandangan Sarawak (JPGS) yang pertama pada tahun ini di Wisma Bapa Malaysia pada hari ini. Foto: TVS

Tangani gelendangan, Sarawak bakal tubuh tiga lagi TTG

KUCHING, 7 Feb: Sarawak bakal menubuhkan tiga lagi Tempat Transit Gelandangan (TTG) di bawah Projek Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) menerusi peruntukan kerajaan negeri berjumlah RM7 juta.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata penambahan fasaliti berkenaan merupakan usaha kerajaan bagi menangani isu gelandangan di negeri ini.

Menurutnya, kejayaan penubuhan TTG di Sibu sebelum ini telah meyakinkan penubuhannya di tiga lokasi di negeri ini.

“Insya-Allah, kita akan menubuhkan beberapa buah lagi TTG pada tahun ini iaitu di Kuching, Bintulu dan Miri. Dua daripada TTG tersebut iaitu di Miri dan Kuching sedang diubahsuai serta dijangka siap menjelang penghujung tahun ini.”

“TTG di Miri yang dilaksanakan oleh Majlis Bandaraya Miri (MBM) pula dijangka siap pada bulan November 2023,” katanya.

Fatimah berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Gelandangan Sarawak (JPGS) yang pertama pada tahun ini di Wisma Bapa Malaysia hari ini.

Sementara, Fatimah memberitahu TTG di Bintulu pula, dijangka siap dalam tempoh 24 bulan ini susulan ia melibatkan pembinaan baharu dan agensi pelaksananya ialah Bintulu Development Authority (BDA).

“Kita berasa bersyukur projek ini turut mendapat sumbangan daripada pihak swasta iaitu Syarikat Samling Group of Companies,” ujarnya.

Fatimah mendedahkan TTG Bintulu bakal dilengkapi Pusat Sokongan Sosial Masyarakat dan kemudahan dijangka siap pada Mei 2025 manakala TTG Kuching pada November tahun ini.

“TTG Kuching pula paling sukar untuk mendapatkan tempat namun kita sudah memperoleh lokasi sesuai tetapi ia perlu disewa. Jadi, kita akan menyewa bangunan bagi TTG Kuching dan pengubahsuaiannya akan dilaksanakan oleh pihak Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) serta ia dijangka siap pada November 2023,” jelasnya.

Menurut Fatimah lagi, petugas TTG juga akan diberikan latihan bagi memudahkan operasi pengurusan para gelandangan.

“Kita juga perlu memberi latihan kompetensi kepada petugas TTG supaya mereka dapat memberi intervensi atau tindak balas yang sewajarnya terhadap pelbagai jenis gelandangan yang datang ke TTG termasuklah yang mempunyai masalah mental,” katanya lagi. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan