JAKARTA, 7 Feb: Indonesia merakamkan ucapan takziah dan simpati kepada mangsa dan keluarga mereka serta kerajaan dan rakyat Turkiye susulan gempa bumi berukuran 7.8 pada skala Richter melanda negara itu pada Isnin.
Melalui Menteri Luar Negara, Retno Marsudi menzahirkan ucapan takziah dan simpati kepada rakan sejawatnya dari Turkiye, Mevlut Cavusoglu.
“Indonesia amat berdukacita atas kehilangan nyawa dan kecederaan akibat gempa bumi di Tenggara Turki dan kami turut mendoakan yang sama kepada rakyat Syria,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Baca artikel berkaitan:
- 1. Gempa bumi 7.4 pada skala richter landa wilayah Kahramanmaras Turkiye
- 2. Gempa Turkiye: Pemain Kedah asal Sarawak sahkan selamat
- 3. Tiada laporan rakyat Malaysia terlibat dalam gempa bumi di Turkiye setakat ini
- 4. Doktor Malaysia di Gaziantep, Turkiye kongsi pengalaman hadapi gempa bumi
Pihaknya juga mengesahkan tiga orang rakyat Indonesia mengalami kecederaan terjejas gempa berkenaan namun tiada mangsa maut setakat ini.
Retno berkata, kementerian itu, melalui Kedutaan Besar Indonesia (KBRI) di Ankara dan Konsulat Jeneral di Istanbul akan terus memantau perkembangan situasi terkini dengan teliti.
KBRI di Ankara sedang mengusahakan tempat perlindungan sementara menunggu pengendalian daripada pihak berkuasa tempatan.
Menurut laporan media, gempa bumi yang melanda selatan Turkiye dan Syria setidaknya meragut 3,823 mangsa meninggal dunia setakat ini. – TVS