KUCHING, 7 Feb: Festival Makanan Kamek Miak Sarawak (KMS) di Pine Square, Batu Kawah menarik 30,000 pengunjung setakat Isnin sejak ia dibuka pada 4 Februari.
Pengasas KMS, Affy Johari berkata lokasi penganjurannya mengambil kira faktor memudahkan pelbagai kaum datang berkunjung mencari makanan dan minuman kegemaran masing-masing.
“Objektif penganjuran festival ini adalah bagi membantu usahawan menjana pendapatan lebih sekali gus memeriahkan kawasan Batu Kawah,” katanya ketika ditemui TVS pada Isnin.
Festival menampilkan 300 gerai yang dibuka 3 petang dan ditutup pada 11 malam itu akan berakhir pada 14 Februari.
Seorang peniaga makanan utara Semenanjung, Dino Ajileh yang berasal dari Kedah berkata pembabitannya dalam festival makanan dapat membantu perniagaan dan secara tidak langsung menyumbang ke arah kemajuan ekonomi Sarawak.
“Setakat ini, Alhamdulillah sambutan amat memberangsangkan. Saya berharap peniaga kecil seperti kami dapat membantu meningkatkan ekonomi dan memajukan perniagaan di Sarawak,” katanya.
Bagi peniaga, Kamil Hassan, festival ini membuka ruang untuk anak muda yang berkecimpung dalam dunia perniagaan makanan bagi memajukan diri.
“Festival ini merupakan pertama kalinya saya menyertai festival makanan. Sambutan dari semalam sehingga hari ini amat menggalakkan walaupun cuaca hujan.
“Sebenarnya dalam bidang perniagaan makanan ini mempunyai banyak peluang tetapi perlu sentiasa bersabar dengan segala dugaan,” katanya. – TVS