Timbalan Menterinya, Datuk Rubiah Wang berkata, hujan lebat berterusan telah menyebabkan banjir melanda beberapa negeri sejak dua minggu lepas dan pihak kementerian giat memberi bantuan dari segi membaik pulih kerosakan yang berlaku selain menyediakan kemudahan pusat pemindahan sementara.
“Sehingga kini masih ada beberapa negeri yang dilanda banjir dan kita berusaha untuk membantu dengan menangani kerosakan yang berlaku, sebagai contoh baru-baru ini di Sabah, insiden jeti roboh akibat banjir mendapat perhatian kementerian dan peruntukan RM400,000 diluluskan dengan segera untuk pembinaan semula.
“Ini merupakan antara tindakan segera yang kita ambil dan kita memohon agensi berkaitan agar melaporkan segera kerosakan yang berlaku,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda), di sini, hari ini.
Katanya, jika kerosakan itu berlaku di bawah bidang kuasa kementerian, pihaknya akan ambil perhatian untuk tindakan segera manakala jika ia di bawah bidang kuasa pihak lain, KKDW sedia untuk bekerjasama agar pembaikan dapat dilaksanakan demi kesejahteraan rakyat.
Khamis lalu, Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan telah menyerahkan surat arahan pelaksanaan kepada Pejabat Daerah Semporna bagi pembinaan semula jambatan dan jeti Pulau Pababag dengan peruntukan sebanyak RM400,000.
Beliau turut berharap agar pembinaan semula jambatan dan jeti berkenaan yang dilaporkan roboh pada 30 Januari lalu disegerakan bagi memudahkan pergerakan penduduk terjejas khususnya murid sekolah dan 35 murid dari taman didikan kanak-kanak (Tadika) Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas). -TVS