KUCHING, 7 Feb: Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg mahu lebih ramai masyarakat Cina menyertai perkhidmatan awam Sarawak.
Beliau yakin golongan berkenaan akan menyertai perkhidmatan awam apabila wujud skim gaji yang menarik.
Menurutnya, perkhidmatan awam Sarawak sukar mendapat penyertaan masyarakat Cina sebelum ini dan dipercayai kadar gaji menjadi satu daripada faktor.
“Kalau gaji bagus, orang Cina akan sertai. Sekarang walaupun kita telah mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC), masih sukar untuk mendapatkan mereka menyertai kerajaan kerana gajinya kurang.
“Jadi ini antara masalah yang kita hadapi tetapi kita akan cari jalan penyelesaian untuk ini selagi Gabungan Parti Sarawak (GPS) diberi mandat untuk menerajui kerajaan,” katanya pada Majlis Makan Malam Tahun Baharu Cina anjuran Persekutuan Persatuan-persatuan Cina Bahagian Kuching, Samarahan dan Serian di sini pada malam Isnin.
Majlis turut dihadiri oleh dua Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Dato Sri Dr Sim Kui Hian serta Presiden Persekutuan Persatuan-persatuan Cina Kuching, Samarahan dan Serian Dato Richard Wee Ling Chiat.
Menurut Abang Johari lagi, kerajaan Sarawak sedang mengusahakan skim gaji baharu untuk penjawat awam Sarawak agar menikmati gaji lebih tinggi.
Katanya, ia sekali gus ke arah memastikan tenaga kerja yang cekap.
“Jika anda menawarkan gaji besar kepada pekerja, anda akan mendapat pakar yang berkualiti,” katanya. – TVS