Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Kira-kira 300 nyawa terkorban dan ratusan lagi cedera dalam kejadian gempa bumi besar berukuran 7.8 magnitud yang melanda tengah Turkiye dan barat laut Syria, hari ini. Foto: Reuters

Korban gempa bumi Turkiye, Syria meningkat kepada 300 orang

ByReuters

DIYARBAKIR/ANKARA, Turkiye, 6 Feb: Kira-kira 300 nyawa terkorban dan ratusan lagi cedera dalam kejadian gempa bumi besar berukuran 7.8 magnitud yang melanda tengah Turkiye dan barat laut Syria, hari ini.

Gegaran gempa itu yang berlaku pada awal pagi tadi, turut dilaporkan dirasai di Cyprus dan Lubnan.

Seorang penduduk yang ditemui di bandar Gaziantep menceritakan detik-detik cemas yang berlaku sewaktu gempa bumi itu melanda negara Timur Tengah itu.

“Saya tidak pernah merasakan apa-apa seperti ini sepanjang 40 tahun saya hidup. Kami merasai gegaran kuat sekurang-kurangnya tiga kali,” katanya.

Sementara itu, agensi bencana Turkiye dalam satu kenyataan memaklumkan seramai 76 orang terkorban, dan 440 orang lagi cedera, ketika pihak berkuasa sibuk menggerakkan operasi menyelamat dan membekalkan pesawat ke kawasan terjejas.

Kenyataan itu juga memaklumkan, pihak berkuasa telah mengisytiharkan ‘penggera tahap empat’ bagi mendapatkan bantuan antarabangsa.

Dalam pada itu, seorang pegawai kesihatan Syria berkata, lebih 230 orang terbunuh dan kira-kira 600 lagi cedera yang kebanyakannya berlaku di wilayah Hama, Aleppo dan Latakia.

Selain itu, beberapa anggota penyelamat dan saksi yang berada di lokasi kejadian turut berkongsi situasi semasa yang berlaku.

“Keadaan sangat tragis, berpuluh-puluh bangunan runtuh di bandar Salqin,” kata seorang anggota organisasi penyelamat White Helmets dalam klip video di Twitter, merujuk kepada sebuah bandar kira-kira 5 km (3 batu) dari sempadan Turki.

“Orang ramai di Damsyik, di bandar Lubnan di Beirut dan Tripoli, berlari ke jalan dan menaiki kereta mereka untuk melarikan diri dari bangunan,“ kata saksi.

Untuk rekod, Turkiye adalah antara negara yang paling terdedah kepada gempa bumi di dunia yang mana sebelum ini lebih 17,000 orang terbunuh pada 1999 apabila gempa bumi berukuran 7.6 magnitud melanda Izmit, sebuah bandar di tenggara Istanbul.

Pada 2011, Turkiye sekali lagi dikejutkan dengan gempa bumi di timur bandar Van yang telah mengorbankan lebih 500 orang. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan