MIRI, 6 Feb: Melibatkan diri dalam aktiviti sukan dan rekreasi bukan sahaja boleh meningkatkan kecergasan dan kesihatan, malah merupakan peluang terbaik untuk orang ramai keluar dan bergaul dengan masyarakat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin, Dato Sri Lee Kim Shin sentiasa menggalakkan orang ramai untuk menyertai aktiviti sukan dan rekreasi seperti bola sepak sebagai budaya hidup.
“Saya memang menggalakkan pelbagai aktiviti sukan dan rekreasi supaya kita boleh keluar dan bercampur gaul secara fizikal. Kita boleh mengadakan aktiviti yang boleh menjadi satu senaman untuk meningkatkan kesihatan dan kecergasan kita.
“Oleh sebab itu, saya memberi sokongan kepada pelbagai aktiviti sukan dan rekreasi. Jangan setiap hari leka dengan bermain telefon sahaja,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Penutupan Kejohanan Bola Sepak Veteran Piala Dato Sri Lee Kim Shin Sempena Tahun Baharu Cina 2023 di Padang Bola Sepak SK Merbau petang semalam.
Katanya, rakyat juga dinasihatkan untuk memberi perhatian ke atas kesihatan diri bagi mengelak masalah kesihatan berlaku.
“Kita mahu rakyat untuk memberi perhatian ke atas kesihatan diri sendiri. Maklumlah sekarang ini, kita setiap hari sibuk dengan jari kita bermain telefon dan teknologi maklumat. Jari kita sudah cukup dengan senaman dan kaki kurang senaman.
“Kadang-kadang kita malas hendak berjalan, contohnya malas keluar untuk membeli barang walaupun kereta parkir depan kedai. Itu yang jadi satu masalah. Kalau kita tidak mengadakan senaman seperti sukan bola sepak, maka masalah kesihatan kita akan terganggu juga,” katanya.
Kejohanan yang diadakan selama dua hari bermula pada 4 hingga 5 Februari anjuran Kelab Bola Sepak SK Merbau telah menerima penyertaan10 pasukan dengan sembilan pasukan dari Miri dan satu pasukan dari Bintulu.
Cuaca hujan tidak menghalang pasukan Armin berentap dengan pasukan Kuda Laut pada perlawanan akhir dengan kemenangan berpihak kepada pasukan Armin dengan jaringan 4-3. -TVS