KUALA LUMPUR, 6 Feb: Pemain bola sepak Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Zharmein Ashraf mengesahkan beliau dan pasukannya tidak terjejas dengan kejadian gempa bumi kuat yang melanda, Diyarbakir, Turkiye hari ini.
Zharmein Asyraf, 21, yang berasal dari Sadong Jaya, Sarawak berkata, dia dan pasukannya tiba di Turkiye, pagi tadi.

“Penerbangan kami dari Kuala Lumpur malam tadi dan tiba di Istanbul, pagi tadi.
Baca berita berkaitan:
- 1. Gempa bumi 7.4 pada skala richter landa wilayah Kahramanmaras Turkiye
- 2. Korban gempa bumi Turkiye, Syria meningkat kepada 300 orang
“Kami kemudian meneruskan penerbangan ke Antalya dan saya sekarang baharu tiba dan masih berada dalam kawasan lapangan terbang,” katanya ketika dihubungi TVS sebentar tadi.
Pasukan KDA FC kini berada di Turkiye bagi menghadapi perlawanan persahabatan menentang dua kelab Kazakhstan dan sebuah kelab Uzbekistan sebelum sepak mula Liga Malaysia pada 24 Februari ini.
Berdasarkan semakan, jarak dari Antalya ke pusat gempa ialah kira – kira 1,190 kilometer(km).
Sementara itu, KDA FC menerusi kenyataan media memaklumkan kawasan gempa berada di zon berbeza dengan lokasi perlawanan persahabatan.
Terdahulu, Reuters melaporkan gempa bumi kuat bermagnitud 7.9 yang menggegarkan selatan Turkiye hari ini meragut lebih 50 nyawa manakala lebih 200 orang terbunuh di Syria. – TVS