MIRI, 5 Feb: Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin menyatakan mengenai keperluan mendesak untuk menaik taraf dan memanjangkan jalan penghubung di Miri ekoran masalah kesesakan lalu lintas pada waktu puncak.
Menurutnya, tiga jalan berkenaan ialah Jalan Penghubung Pujut Bypass ke Jalan Pujut Corner, Jalan Padang Kerbau ke simpang lampu isyarat Hospital Miri dan Jalan Cahaya ke Lebuhraya Pan Borneo.
“Saya juga telah menekankan kepada Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas mengenai keperluan mendesak untuk menaik taraf dan memanjangkan jalan penghubung dari lampu isyarat Pan Borneo Pujut Bypass ke bulatan Jalan Pujut Corner kepada dua laluan. Jalan antara Pujut Bypass sehingga Jalan Pujut Corner, setiap hari kesesakan lalu lintas sangat teruk.
“Sesekali saya mendapat permintaan untuk menaik taraf jalan ini dengan segera. Begitu juga Jalan Padang Kerbau sehingga ke persimpangan Hospital Miri, jalan ini juga sangat sempit dan lalu lintas yang sangat padat. Di sepanjang jalan itu kita ada satu sekolah rendah, pusat stesen bas , taman perumahan dan persatuan besar lain seperti Persatuan Orang Ulu dan sebagainya,” katanya semasa Majlis Makan Malam Sambutan Perayaan Tahun Baru Cina anjuran Persatuan-Persatuan Cina Bersekutu bahagian Miri di Eastwood Valley semalam.
Beliau turut memohon untuk menjadikan tiga jalan terbabit sebagai projek utama supaya masalah rakyat itu dapat diselesaikan dengan segera, lebih-lebih lagi dengan pertambahan fasiliti seperti Pusat Bas Miri dan terminal lori pada masa hadapan.
“Terdapat juga Jalan Cahaya, jalan dari lapangan terbang, Borneo Medical Centre (BMC) sehingga ke Lebuhraya Pan Borneo, melalui Hospital Miri. Pusat Bas Miri juga akan ada yang baharu di sana. Selanjutnya, kita mempunyai terminal lori pada masa hadapan. Tiga jalan ini menghadapi kesesakan yang sangat serius setiap hari terutama pada waktu puncak. Malah semasa perbincangan kami dengan JKR, saya telah meminta bantuan Datuk Amar Douglas Uggah Embas untuk meletakkan tiga jalan yang disebutkan sebagai projek keutamaan,” katanya lagi.
Beliau memberitahu perbincangan telah diadakan bersama Jabatan Kerja Raya (JKR) serta Datuk Amar Douglas Uggah Embas untuk menyusun semula autoriti dan memberi tanggungjawab kepada Pejabat Bahagian JKR untuk menguruskan projek-projek jalan raya di peringkat bahagian dan tidak di bawah Pejabat Wilayah bagi mempersiapkan projek dengan cepat dan efisien. -TVS