Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Ketua Jurulatih Perak FC, Lim Teong Kim. Foto: Bernama

Teong Kim kecewa tetapi tidak panik

ByBernama

KUALA LUMPUR, 5 Feb: Ketua Jurulatih Perak FC, Datuk Lim Teong Kim tetap berterima kasih kepada barisan pemainnya walaupun tidak dapat menerima kekalahan 0-3 pasukan itu di tangan Kuala Lumpur (KL) City FC pada aksi Piala Menteri Wilayah Persekutuan 2023 semalam.

Teong Kim merasakan Perak tidak sepatutnya tewas dengan jumlah jaringan yang besar selepas melihat anak buahnya menampilkan persembahan memuaskan untuk menyaingi KL City pada pertembungan di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.

“Kalau orang tak tengok perlawanan dan (hanya) tengok keputusan sahaja mereka akan fikir ia kemenangan yang mudah untuk KL City. Sangat kecewa dengan keputusan tetapi tidak dengan cara kita bermain, namun pada akhirnya bola sepak ialah tentang keputusan.

“Sudah tentu saya kecewa, bukan kecewa kerana cara kita bermain, (tetapi) kecewa kerana jaringan itu terlampau (besar) tidak sepatutnya sampai 3-0 dan ia menampakkan pasukan kita lemah sangat,” katanya pada sidang media selepas aksi Piala Menteri Wilayah Persekutuan 2023 di sini malam tadi.

Bagaimanapun, Teong Kim tidak panik sebaliknya komited dalam membentuk skuad terbaik bagi menjadikan Perak sebagai pasukan yang mampu memberikan saingan dalam Liga Super musim ini.

“Saya perlu beri mereka masa untuk menjadi pemain yang lebih matang dan ia mengambil masa kerana kematangan seseorang pemain tidak boleh dipaksa…ini ialah proses dan terpulang kepada kebijaksanaan pemain, saya tak boleh paksa kerana manusia kalau paksa akan rosak.

“Kita perlu bersabar supaya mereka akan belajar daripada kesalahan, cara permainan (semalam) memang bagus tetapi kita nak menang bukan sekadar main cantik saja,” katanya.

Kekalahan semalam merupakan yang kedua berturut-turut buat Perak dalam tempoh pramusim ini selepas tewas 0-1 kepada Penang FC, bulan lepas.

Perak yang kembali ke dalam saingan Liga Super, membuka kempen musim ini menentang Kedah Darul Aman (KDA) FC di Stadium Perak, Ipoh pada 25 Februari ini. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan