Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Program Seminar Ujian Lisan Khusus bagi subjek Bahasa Melayu disertai seramai 18 orang calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dari PERYATIM Kuching. Foto: TVS

PKKPS bantu anak yatim capai keputusan cemerlang subjek Bahasa Melayu SPM

KUCHING, 5 Feb: Pertubuhan Kepimpinan dan Keterbilangan Pelajar Sarawak (PKKPS) menganjurkan Program Seminar Ujian Lisan Khusus bagi subjek Bahasa Melayu dalam usaha bagi memastikan masa depan anak-anak yatim tidak ketinggalan dalam pelajaran.

Pengerusi PKKPS, Ishak Johari berkata, program tersebut bertujuan  membuka peluang kepada anak-anak yatim mempelajari cara untuk menjawab soalan lisan, selain memberi motivasi kepada mereka.

“Matlamat utama program ini adalah bagi mereka yang akan menghadapi ujian lisan iaitu ujian bertutur berlangsung pada 7 hingga 9 Februari ini dan ujian mendengar pada 16 Februari. Jadi, kita berharap mereka dapat menjawab soalan tersebut dengan baik terutama bagi subjek Bahasa Melayu kerana ia subjek wajib lulus termasuklah subjek Sejarah. Pada masa akan datang, program ini akan diteruskan kerana kita hendak memberi input terutama kepada kecemerlangan anak-anak yatim,” katanya semasa Program Seminar Ujian Lisan Khusus bagi subjek Bahasa Melayu hari ini.

Seorang peserta program, Slyvia Empiang berkata, dia berharap program berkenaan akan diteruskan pada masa akan datang bagi membantu golongan anak-anak yatim sekali gus menyokong mereka untuk meraih kecemerlangan dalam pelajaran.

“Saya berasa sangat gembira dan bangga kerana ada yang sudi menjemput kami semua untuk menyertai program seminar ini secara percuma. Pelbagai ilmu yang saya peroleh terutamanya bagi subjek Bahasa Melayu, Sains, Sejarah dan banyak lagi. Saya berharap program seperti ini dilanjutkan untuk adik-adik saya yang tinggal di Kompleks Laila Taib supaya mereka dapat belajar di sini bersama-sama. Saya juga berharap akan memperoleh gred A+ bagi subjek Bahasa Melayu,” katanya.

Bagi Mohamad Mazi pula, ilmu dan kemahiran cara menjawab yang diperolehinya dalam program tersebut mampu membuka ruang untuk memperbaiki gred subjek Bahasa Melayu.

“Saya mendapat manfaat daripada program ini iaitu saya dapat mempertingkatkan kemahiran saya dalam ujian lisan kerana ujian lisan akan diadakan tidak lama lagi. Saya juga dapat mengetahui teknik menjawab soalan. Saya berharap program ini dapat dilanjutkan dengan anak-anak yatim atau masyarakat yang tidak berkemampuan. Dahulu, saya memperolehi gred B+ dalam subjek Bahasa Melayu, tetapi sekarang saya menyasarkan gred A,” katanya.

Program Seminar Ujian Lisan khusus bagi subjek Bahasa Melayu yang merangkumi dua sesi itu melibatkan kerjasama Lembaga Kebajikan Anak-Anak Yatim Sarawak (PERYATIM) serta Pusat Tuisyen Terbilang Cawangan Sukma Ria.

Program yang tidak mengenakan sebarang bayaran itu disertai seramai 18 orang calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dari PERYATIM Kuching.

Terdahulu pengisian program pada sesi pertama pada 29 Januari yang lalu ialah ujian bertutur dan sesi kedua pada hari ini untuk ujian mendengar.

Untuk rekod, ujian bertutur bahasa Melayu SPM akan diadakan pada 7 hingga 9 Februari manakala untuk ujian mendengar pada 16 Februari ini. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan