KUALA LUMPUR, 5 Feb: Perayaan Thaipusam kembali meriah di seluruh negara selepas dua tahun ia disambut secara sederhana, akibat pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) bagi membendung penularan COVID-19.
Kemeriahan dirasai di lokasi utama sambutan di Kuil Sri Subramaniar Swamy, Batu Caves di sini, dengan penganut beragama Hindu kembali berarak membawa kavadi untuk dipersembahkan kepada Dewa Murugan, selain menjunjung Paal Kudam, iaitu tabung susu.
Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar ketika ditemui di kuil berkenaan, menasihatkan penganut Hindu dan pelancong supaya sentiasa berhati-hati dengan penularan COVID-19, selain menjaga kebersihan terutama di perkarangan kuil.
“Bagi tahap keselamatan saya perhatikan keadaan di sini adalah cukup baik. Saya juga mengambil kesempatan ini mengucapkan selamat menyambut Thaipusam bagi tahun 2023 kepada semua penganut Hindu di seluruh negara,” katanya kepada pemberita ketika meninjau sambutan hari Thaipusam di sini.
Di SELANGOR, dianggarkan 150,000 penganut Hindu hadir ke Kuil Sri Subramaniar Swamy di Kuala Selangor sejak semalam, dengan pengerusi kuil tersebut P. Kannathasan berkata, jumlah tersebut bertambah 30 peratus, berbanding dalam tempoh tiga tahun lepas.
“Ramai orang datang ke sini terutamanya mereka yang bernazar, kerana sudah dua tahun perayaan ini ditangguhkan, selain kita juga berikan makanan percuma kepada pengunjung yang hadir sejak semalam hingga esok, hasil sumbangan orang ramai,” katanya.
Di JOHOR, Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan berangkat ke majlis santapan sempena perayaan Thaipusam peringkat negeri yang diadakan di Kuil Arulmigu Sri Balasubramaniar, Skudai, Johor Bahru.
Ketibaan Sultan Ibrahim pada 11 pagi disambut Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi dan pengerusi kuil berkenaan Datuk S. Balakrishnan.
Pada majlis yang dihadiri hampir 10,000 penganut Hindu itu, Sultan Johor turut berkenan menerima sumbangan RM5,000 daripada pihak kuil untuk Yayasan Kanser Tunku Laksamana Johor, dan cenderahati belanga diperbuat daripada perak yang ditempah khas dari India.
Di NEGERI SEMBILAN, Presiden Kuil Sri Balathandayuthapani di Jalan Yamtuan, Seremban, R Parameswaran berkata, ribuan penganut mengunjungi kuil itu, dengan kira-kira 5,000 daripada mereka berarak membawa Paal Kudam.
Di PULAU PINANG, ribuan penganut Hindu mula membanjiri Jalan Kebun Bunga di Georgetown seawal 4 pagi dengan memakai pakaian kuning yang melambangkan kesucian, sebelum berjalan sejauh dua kilometer ke Kuil Thanneermalai Shree Balathandayuthapani di sini.
Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, hingga 11 pagi tadi, lebih 500,000 pengunjung menghadiri sambutan Thaipusam sejak semalam, yang berjalan lancar tanpa sebarang kejadian tidak diingini berlaku.
Di KEDAH, Ketua Polis Daerah Kuala Muda ACP Zaidy Che Hassan berkata, sambutan di Kuil Sri Subramaniya Swami Devasthanam di Sungai Petani, berjalan lancar tanpa sebarang insiden tidak diingini selain hampir 700 pegawai dan anggota ditugaskan sepanjang Op Palu di daerah Kuala Muda.
Di PERAK, dianggarkan 25,000 pengganut Hindu menyambut perayaan Thaipusam di Kuil Kallumal Arulmigu Subramania, Gunung Cheroh, Ipoh.
Seorang pengunjung dari Perancis, Juliette Baudot, 24, yang hadir bersama rakan lelakinya Hugo Doucet, 23, menyatakan keterujaan melihat sambutan tersebut, memandangkan ia merupakan kali pertama mereka berkunjung ke negara ini.
“Menarik untuk berada di sini kerana kami tidak mengetahui mengenai cerita disebalik festival ini. Di negara kami, kami tidak ada perayaan ini. Saya datang seawal 10 pagi untuk melihat bagaimana ia disambut dan saya amat sukakannya,” katanya.
Thaipusam ialah perayaan yang disambut pada bulan ‘Thai’, iaitu bulan ke-10 dalam kalendar Tamil, bagi memperingati peristiwa Dewi Parvati memberikan lembing suci kepada anak lelakinya Dewa Murugan, bagi menghapuskan kuasa jahat Soorapadman, dan mengembalikan kemakmuran serta kesejahteraan manusia. – TVS