Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Pengusaha premis makanan, Hossen@ Hassan Rail (kiri), Suriani Ismail (atas) dan Laily Narawi (bawah) ketika ditemui TVS bagi mendapatkan pandangan berhubung pelaksanaan Menu Rahmah. Foto: Ahmad Nasrullah (TVS)

Lebih banyak premis makanan sedia tawar Menu Rahmah di Sarawak

ByHafeezzur Muzamir

KUCHING, 5 Feb: Pengusaha premis makanan dan minuman di Sarawak menyahut seruan kerajaan untuk memperkenalkan Menu Rahmah dengan tawaran harga serendah RM5.

Berdasarkan tinjauan TVS di sekitar bandaraya Kuching, beberapa premis makanan milik bumiputera menyatakan kesediaan untuk menawarkan hidangan seperti yang terdapat di Menu Rahmah dengan harga jualan yang sama dan ada daripada mereka mahu menawarkan harga yang lebih rendah berbanding harga yang dicadangkan.

Pemilik Warung Hasmidah di Jalan Tan Sri Datuk William Tan di sini, Hossen@ Hassan Rail, 71, berkata, beliau bersedia untuk memperkenalkan Menu Rahmah di warungnya bagi membantu golongan yang memerlukan untuk menikmati hidangan dengan harga yang murah, namun berkualiti.

“Saya lihat inisiatif ini bagus dan memang sudah tiba masanya ia dilaksanakan bagi membantu mereka yang susah.

“Saya dah berniaga 20 tahun dan harga jualan untuk semua hidangan kekal RM2, jadi tiada masalah bagi saya untuk sahut seruan kerajaan untuk menyediakan makanan seperti Menu Rahmah dengan harga jualan yang lebih rendah.

“Kita peniaga bukan hanya nak untung semata-mata, tetapi kita mahu berniaga sambil bersedekah, itu yang penting, “ katanya.

Senada dengan beliau, peniaga kedai nasi campur di Batu 7, Laily Narawi, 50, berpandangan bahawa tidak mustahil bagi premis makanan menawarkan Menu Rahmah kerana peniaga masih mendapat keuntungan, meskipun sedikit  berbanding harga jualan biasa.

“Bagi saya, boleh kita buat Menu Rahmah ini kerana kami selama ini memang ada tawarkan hidangan seperti Menu Rahmah iaitu nasi bujang yang hidangannya merangkumi nasi, ayam goreng dan telur goreng dengan harga jualan RM6.

“Saya lihat ia sama dengan Menu Rahmah, cuma harganya mahal seringgit, tetapi saya fikir tidak mustahil untuk saya memperkenalkan Menu Rahmah itu dengan harga RM 5, “ ujarnya.

Dalam pada itu, seorang lagi peniaga nasi campur di lokasi yang sama, Suriani Ismail, 40, beranggapan bahawa kerajaan perlu menghulurkan bantuan dari segi menstabilkan harga bahan mentah sekiranya mahu melihat lebih banyak premis makanan dan minuman menawarkan Menu Rahmah untuk tempoh yang panjang.

“Bagi saya, untuk memperkenalkan menu RM5 memang boleh, tetapi kita sebagai peniaga memerlukan sokongan daripada pihak kerajaan untuk mengurangkan kos bahan mentah seperti ayam dan daging.

“Kalau kos bahan mentah murah, kita pun boleh jual dengan harga yang murah, tetapi kalau ia mahal, sukar untuk kita tawarkannya, “ jelasnya.

Sebelum ini, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) melancarkan inisiatif Menu Rahmah dengan sebanyak 15,000 premis menjual makanan turut serta melaksanakan usaha berkenaan bagi membantu mengurangkan beban kos sara hidup rakyat terutamanya golongan miskin.

Di Sarawak, dua cawangan Pasar Raya Mydin di Bandar Kuching masing-masing di cawangan Vista Tunku Petra Jaya dan cawangan Samariang tampil menawarkan Menu Rahmah bermula semalam untuk tempoh tiga bulan. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan