Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Malaysia, M. Janagarajan (dua, kanan) melihat sebahagian bas ekspress selepas majlis penutup Kursus Pembangunan Pasukan Kepada Jurupandu Perkhidmatan Bas Ekspres Konsortium E-Mutiara Berhad di Akademi Pengangkutan Jalan Wilayah Timur hari ini. Foto: Bernama

JPJ kesan penipuan lesen palsu berleluasa

ByBernama

KOTA BHARU, 5 Feb: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengesan penipuan yang melakukan kesalahan pemalsuan lesen kenderaan yang masih berleluasa di media sosial hingga hari ini, kata Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) JPJ, M. Janagarajan.

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai untuk lebih berhati-hati dalam mendapatkan lesen kenderaan, supaya tidak terjebak dengan pemalsuan lesen atau lebih popular dipanggil ‘lesen terbang’.

“Sebenarnya ini bukan isu lesen terbang, isunya ialah pemalsuan lesen. Lesen itu bukan lesen biasa. Ia dilakukan atau dibuat oleh scammer dan lesen tersebut tidak mempunyai rekod atau tidak wujud di dalam sistem JPJ.

“Sekiranya pengguna dapat lesen yang sedemikain, mereka tidak memperoleh lesen yang betul dan ia adalah lesen palsu,” katanya selepas Majlis Penutup Kursus Pembangunan Pasukan Kepada Jurupandu Perkhidmatan Bas Ekspres Konsortium E-Mutiara Berhad, di Akademi Pengangkutan Jalan Wilayah Timur di sini hari ini.

Turut hadir, Pengarah Akademi Pengangkutan Jalan Mohd Kifli Ma Hassan, Pengarah JPJ Kelantan Mohd Misuari Abdullah dan Pengerusi Eksekutif Konsortium E-Mutiara Berhad Che Ibrahim Che Ismail.

Janagarajan berkata, pihaknya sudah mengenal pasti ramai yang menjadi mangsa penipuan ini dan tindakan dilakukan menerusi bahagian pelesenan memandu integriti JPJ.

“Modus operandi penipuan ini ialah mereka menawarkan iklan dalam media sosial dengan mengatakan bahawa lesen itu adalah lesen yang sah, tetapi sebenarnya lesen itu adalah lesen yang tidak sah.

“Ada mangsa sudah membuat pembayaran dan sekiranya bernasib baik, mereka dapat lesen palsu berkenaan, tetapi ada juga mangsa mengadu akaun ditutup atau tidak wujud setelah pembayaran dibuat,” katanya.

Janagarajan berkata, pihaknya bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM), selain mengambil tindakan mahkamah ke atas suspek yang melakukan penipuan itu.

“Apa yang perlu pengguna ingat, mereka yang dapat lesen palsu itu hanya boleh menggunakannya dalam tempoh sekejap sahaja dan aktiviti tidak sihat ini biasanya disedari selepas pengguna membuat pembaharuan lesen pada tahun seterusnya,” katanya. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan