KUALA LUMPUR, 4 Feb: Pemain perseorangan profesional negara Lee Zii Jia disarankan agar menggunakan semula khidmat jurulatih bagi memastikan prestasinya kembali ke tahap sebenar sekali gus membolehkan karier badmintonnya terus berkembang.
Legenda badminton negara Datuk Rashid Sidek berkata selaku pemain yang pernah bernaung di bawah Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sebelum ini, Zii Jia sudah tentu lebih mengetahui apa dimahukan dalam memilih jurulatih terbaik untuk dirinya sama ada jurulatih yang lebih kepada aspek serangan atau ‘rally’.
“Bagi saya setiap pemain perlu ada jurulatih dan pasukan yang bagus kerana ia dapat meningkatkan keupayaan fizikal serta mental pemain. Dia (Zii Jia) hanya perlu fokus kepada bermain sahaja.
“Nak jadi pemain bertaraf tinggi kena ada latihan yang keras, jurulatih dan pasukan akan merencana persiapan terbaik buatnya. Yang penting ada pihak boleh beri dia semangat untuk terus kekal bertanding,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan satu program amal, di sini hari ini.
Ketiadaan jurulatih di samping Zii Jia selepas berpisah dengan jurulatih dari Indonesia, Indra Wijaya, November tahun lepas ternyata memberikan impak kepada pemain berusia 25 tahun itu.
Ini dapat disaksikan apabila beliau terkandas awal di pusingan pertama Terbuka Malaysia, diikuti kekalahan pada pusingan kedua Terbuka India serta Masters Indonesia pada bulan lepas.
Bekas Juara All England itu sebelum ini mengalami penurunan ranking dunia apabila jatuh dua anak tangga ke kedudukan keempat berdasarkan ranking terkini dikeluarkan Persekutuan Badminton Dunia (BWF). -TVS