Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg. Foto: Ahmad Nasrullah (TVS)

Sarawak pertimbang skim gaji penjawat awam sendiri

ByLorenzo Isaac Ak Anthony

KUCHING, 4 Feb: Kerajaan Sarawak sedang mempertimbangkan cara untuk menghapuskan skim gaji sedia ada dan mewujudkan skim gaji sendiri bagi penjawat awam Sarawak.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, setakat ini perbincangan sedang diadakan untuk menetapkan kadar gaji yang lebih sesuai.

“Kita sedang mencari jalan untuk mempunyai skim gaji sendiri yang tidak terikat dengan ordinan pencen, kita mahu menggunakan skim sendiri yang selaras dengan pengurusan kita.

“Saya tidak boleh janjikan perkara ini kerana masih dalam peringkat perancangan. Jadi apa yang saya mohon adalah doa anda semua,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam LANDAS Summit 2023 anjuran Jabatan Tanah dan Survei di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini malam tadi.

Beliau berkata, Sarawak telah mencatatkan prestasi hasil tertinggi dengan meraih hampir RM12 bilion pada tahun lalu dan beliau yakin lebih ramai rakyat Sarawak yang bekerja di luar negara akan kembali membantu menyumbang kepada ekonomi di Sarawak yang berasaskan teknologi selaras dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) ke arah menjadikan Sarawak negeri maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2030.

“Bagi mencapai sasaran ini, Sarawak perlu meningkatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kepada RM232 bilion.

“Sama ada kita boleh mencapainya, saya percaya dengan tenaga kerja semasa dan rakyat Sarawak yang bekerja di luar negara akan kembali, kita boleh mencapai aspirasi 2030 kita.

“Saya yakin kerana rakyat Sarawak yang bekerja di luar negara dengan pengetahuan teknologi telah pulang ke tanah air kerana kita boleh menawarkan gaji yang baik, menyediakan teknologi dan mereka boleh menggunakan kepakaran mereka dalam bidang baharu. Ramai yang berpengalaman dalam MRT (Mass Rapid Transit) dan LRT (Light Rapid Transitl) bekerja di Sarawak Metro serta jurutera di loji metanol,” jelasnya.

Pada masa sama, Abang Johari berkata, Sarawak berada di landasan tepat dalam usaha untuk beralih ke ekonomi baharu dengan penangkapan dan penyimpanan karbon, pengeluaran metanol serta sumber tenaga boleh diperbaharui lain yang boleh dijadikan sebagai nilai tambah dalam sumber pendapatan baharu Sarawak. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan