Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Pekerja ladang sawit
Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives dijangka diniagakan dalam sentimen turun naik minggu depan berikutan peniaga menunggu laporan Lembaga Minyak Sawit Malaysia bagi pengeluaran dan eksport Januari 2023 pada pertengahan minggu. Foto: Bernama.

Niaga hadapan MSM diniagakan dalam sentimen turun naik minggu depan

ByBernama

KUALA LUMPUR, 4 Feb: Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives dijangka diniagakan dalam sentimen turun naik minggu depan berikutan peniaga menunggu laporan Lembaga Minyak Sawit Malaysia bagi pengeluaran dan eksport Januari 2023 pada pertengahan minggu.

Peniaga minyak sawit kanan Interband Group, Jim Teh berkata, memandangkan kebanyakan penganalisis menjangkakan stok lebih tinggi, angka eksport rendah serta permintaan yang lebih perlahan di Malaysia dan Indonesia, harga bagi komoditi itu mungkin mengalami turun naik.

“Peniaga antarabangsa lebih kepada bila dan di mana untuk membeli disebabkan inventori tinggi. Selain itu, minggu depan juga adalah minggu dagangan pendek yang menyebabkan pembelian akan berkurangan dan volum akan merosot.

“Selain itu, sebilangan peniaga baharu sahaja memulakan operasi selepas sambutan Tahun Baharu Cina,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata, komoditi itu dijangka diniagakan antara RM3,300 satu tan dan RM3,500 satu tan.

Dalam pada itu, peniaga minyak sawit David Ng menjangka pasaran akan diniagakan dalam kecenderungan meningkat minggu depan dengan julat RM3,500 satu tan dan RM4,000 satu tan.

Bagi minggu dagangan pendek yang baru berakhir, niaga hadapan MSM Malaysia bercampur-campur dan dipengaruhi oleh belian semasa harga rendah, eksport yang dijangka lebih lemah serta kekurangan permintaan.

Bagi asas mingguan, kontrak Februari 2023 merosot RM149 kepada RM3,725 satu tan, Mac 2023 susut RM66 kepada RM3,833 satu tan, April 2023 menguncup RM51 kepada RM3,851 satu tan, Mei 2023 susut RM41 kepada RM3,862 satu tan, Jun 2023 turun RM30 kepada RM3,864 satu tan dan Julai 2023 susut RM19 kepada RM3,856 satu tan.

Jumlah dagangan mingguan meningkat kepada 224,673 lot daripada 154,453 lot manakala kepentingan terbuka susut kepada 168,241 kontrak daripada 174,782 kontrak pada akhir minggu lepas.

Harga MSM fizikal bagi Februari Selatan rendah RM120 kepada RM3,800 satu tan.

Pasaran niaga hadapan Malaysia ditutup pada Rabu, 1 Februari bersempena cuti Hari Wilayah Persekutuan.

Ia juga akan ditutup pada Isnin, 6 Februari sebagai cuti gantian bagi Thaipusam yang disambut pada Ahad dan menyambung semula dagangan pada Selasa, 7 Februari. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan