Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Dari atas: Rosli Main, Mohamad Sazalie (kiri), Kamariah Karim (kanan). Foto: Ahmad Nasrullah (TVS)

Menu Rahmah: Rakyat Sarawak sambut baik, teruja harga hanya RM4.90

ByHafeezzur Muzamir

KUCHING, 4 Feb: Murah, sedap dan berbaloi. Itu antara reaksi pelanggan pada hari pertama Program Menu Rahmah di Pasar Raya Mydin Vista Tunku, Petra Jaya, hari ini.

Tinjauan TVS di sini mendapati rata-rata pelanggan yang ditemui menyambut baik pelaksanaan program berkenaan serta memuji insiatif yang diambil oleh kerajaan itu dalam membantu rakyat yang terbeban dengan kos sara hidup yang semakin meningkat.

Menurut salah seorang pelanggan, Kamariah Karim, 52, yang teruja melihat sajian yang ditawarkan Menu Rahmah kerana saiz hidangannya yang banyak namun ditawarkan dengan harga yang jauh lebih murah berbanding harga jualan di kebanyakan kedai makan lain.

“Program ini sangat bagus sebab sekarang ini susah nak cari makanan dengan harga yang semurah ini”.

“Kebiasaannya nasi campur berharga RM10 dan ada yang mencecah sehingga belasan ringgit, tetapi melalui program ini, harganya sangat murah,” katanya sambil menyifatkan saiz hidangan juga mencukupi untuk sajian seorang individu.

 

Antara hidangan yang ditawarkan dibawah Program Menu Rahmah di Mydin Vista Tunku, Kuching. Foto: Mydin Sarawak.

Turut senada, Rosli Main, 43, yang menyifatkan harga yang ditawarkan Menu Rahmah adalah berbaloi di samping membantu rakyat menjimatkan perbelanjaan harian.

“Saya lihat ia sangat berbaloi kerana saiz hidangannya adalah mencukupi dan turut mengandungi nutrisi”.

“Bahkan, harga jualannya juga murah iaitu ia sedikit sebanyak membantu rakyat yang kini terkesan dengan kenaikan harga barang, “ ujarnya.

Sementara itu, Mohamad Sazalie, 53 pula berpendapat, program berkenaan perlu diperluaskan serta berharap ia bukan bersifat sementara.

“Saya rasa (program) ini sangat bagus dan kalau boleh sebagai rakyat, kita berharap tempoh program ini dapat dipanjangkan dan bukannya berlangsung untuk tempoh setahun atau dua tahun ini sahaja”.

“Selain itu, di masa akan datang untuk penambahbaikan, mungkin boleh menambah lagi menu seperti buah. Tak perlu banyak, kuantiti sedikit sudah memadai, “ jelasnya.

Pengurus Mydin Vista Tunku, Petra Jaya, Elappan Balakrishnan. Foto: Ahmad Nasrullah (TVS)

Dalam pada itu, Pengurus Pasar Raya Mydin Cawangan Vista Tunku, Petra Jaya, Elappan Balakrishnan berkata, hari pertama pelancaran program berkenaan di sini menyaksikan sambutan luar biasa daripada pelanggan yang menunggu sejak awal pagi lagi untuk membeli hidangan masing-masing.

“Hari ini sepatutnya pelancaran pada jam 12 tengah hari, namun, sambutan luar biasa daripada pelanggan, kita terpaksa awalkan pada jam 10 pagi”.

“Sambutan sangat menggalakkan dengan pelanggan tidak putus-putus datang, “ katanya.

Pada Selasa lepas, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Seri Salahuddin Ayub melancarkan inisiatif Menu Rahmah dengan sebanyak 15,000 premis menjual makanan turut serta melaksanakan usaha berkenaan bagi membantu mengurangkan beban kos sara hidup rakyat terutamanya golongan miskin.

Di Sarawak, dua cawangan Pasar Raya Mydin di Bandar Kuching masing-masing di cawangan Vista Tunku Petra Jaya dan cawangan Samariang tampil menawarkan Menu Rahmah bermula hari ini untuk tempoh tiga bulan. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan