JAKARTA, 4 Feb: Malaysia akan menjadi tuan rumah sidang kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) pada tahun ini.
Menurut Menteri Luar Datuk Seri Zambry Abdul Kadir, kata sepakat dibuat pada Pemukiman Menteri Luar ASEAN (AMM retreat) di Jakarta, hari ini.
“Malaysia dipertanggungjawabkan ASEAN sebagai Sekretariat ASEAN-GCC dan ASEAN-Kanada,” katanya kepada wakil TVS di Jakarta pada Sabtu.
Zambry optimis penganjuran sidang kemuncak berkenaan akan mewujudkan kerjasama serantau serta perhubungan yang adil.
“Ini merupakan harapan ASEAN, kita sentiasa ingin mewujudkan kerjasama yang baik dengan pelbagai pihak, sebab sewajarnya hubungan ASEAN dengan negara yang lain itu perlu memberi kebaikan bersama,” ujarnya.
Zambry turut berkata, sebuah mekanisme yang baik diperlukan ketika ini dalam menyelesaikan permasalahan yang sedia ada seperti masalah perdagangan tanpa unsur diskriminatif kepada negara ASEAN.
Menurutnya, Malaysia dipercayai dalam mewujudkan serta meningkatkan perdagangan dan menjadi platform dalam menyelesaikan sebarang masalah. -TVS