KUCHING, 4 Feb: Kutipan cukai dan pendapatan yang tinggi diperoleh Sarawak pada 2022 membuktikan formula pembangunan berkesan yang dilaksanakan kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) pimpinan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Timbalan Premier Sarawak, Dato Sri Dr Sim Kui Hian berkata usaha kerajaan negeri menerapkan nilai keusahawanan berjaya menggerakkan ekonomi seterusnya memberi pulangan kepada pendapatan negeri.
“Selepas itu, kita mula mencari duit kita sendiri, dan itu merupakan asas kerajaan negeri di bawah GPS yang menjadi usahawan pada masa sama”.
“Ini adalah supaya kita mampu menjana lebih banyak pendapatan dan kita boleh memberi lebih banyak kepada rakyat Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada sambutan Tahun Baru Cina 2023 anjuran Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Batu Kawa di Dewan Chung Hua Batu Kawa, pada Sabtu.
Mendokong kepada pencapaian Sarawak, menurut Dr Sim, Petros yang baharu sahaja berusia sekitar lima tahun kini namun berupaya menjana hasil pendapatan hingga mencecah RM1.3 bilion.
Sementara itu beliau turut melihat kepada inisiatif Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memberi jaminan pemberian khas kepada Sabah dan Sarawak berdasarkan perkara 112D Perlembagaan Persekutuan yang akan ditingkatkan merupakan kadar yang munasabah.
“Dalam lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang lalu, beliau telah menjanjikan RM300 juta.
Jadi itulah sebabnya di bawah pimpinan Premier Sarawak, kita maklumkan kepada Perdana Menteri bahawa yang pertamanya adalah, sebagai sebahagian daripada Malaysia, apabila ekonomi dalam keadaan tidak baik, kita menderita bersama-sama dan jika ekonomi baik, kita makmur bersama, jadi mereka hendaklah memberi kita formula itu”.
“Nilai RM300 juta ini hanyalah sementara (interim) dalam tempoh kita mengusahakan formula itu, iaitu cukai yang mereka dapat daripada Sarawak,” jelasnya lagi.
Tedahulu, pada Khamis, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengumumkan pendapatan negeri sebanyak RM11.9 bilion pada tahun lalu merupakan yang tertinggi dalam sejarah negeri.
Beliau memaklumkan sumbangan tertinggi kepada peningkatan tersebut adalah Cukai Jualan Negeri (SST) iaitu RM5.6 bilion daripada jumlah hasil cukai RM6.7 bilion membabitkan antaranya produk minyak dan gas. – TVS