Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing. Foto fail Bernama

TRAVEX ASEAN platform untuk negara anggota rancakkan semula sektor pelancongan – Tiong

ByBernama

JOGJAKARTA, 3 Feb: Travel Exchange (TRAVEX) iaitu satu daripada agenda utama Forum Pelancongan ASEAN 2023 (ATF 2023) dilihat sebagai platform untuk semua negara-negara anggota ASEAN memanfaatkan dan mewujudkan persefahaman dan kerjasama yang lebih baik antara satu sama lain.

Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan (Motac), Datuk Seri Tiong King Sing berkata forum perniagaan yang diadakan mulai Jumaat hingga 5 Feb itu berfungsi mewujudkan “situasi menang-menang” untuk semua negara ASEAN dalam memulihkan sektor pelancongan, terutama dunia kini ke arah pemulihan wabak.

“Ini adalah masa yang penting bagi kita semua memulihkan sektor ini bersama-sama, dan tidak ada gunanya bersaing antara satu sama lain.

“Dengan semangat ASEAN, sektor pelancongan harus menjadikan semua orang gembira dan bukan berbalah,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di TRAVEX, forum perniagaan untuk ahli perniagaan pelancongan ASEAN yang diadakan sempena Forum Pelancongan ASEAN (ATF) di Pusat Ekspo Jogja ( JEC) di sini, pada Jumaat

TRAVEX, adalah satu daripada agenda utama ATF 2023 dan berjaya menghimpunkan 157 penjual dan 136 pembeli dari 29 negara merangkumi sembilan negara ASEAN, serta negara lain iaitu Korea Selatan, India, Jepun, Sri Lanka, Australia, Jerman, Belanda, Perancis dan Belgium.

Menyentuh mengenai acara itu, Tiong melahirkan harapan agar Pavilion Malaysia di bawah bidang kuasa Tourism Malaysia dapat diperluaskan lagi dengan menampilkan semua negeri bagi menarik lebih ramai pelancong antarabangsa datang ke negara ini.

“Memandangkan hari ini kita ditadbir kerajaan perpaduan, adalah menarik dan terbaik bagi  ASEAN dan dunia global untuk melihat sisi perpaduan Malaysia melalui aktiviti pelancongan,” katanya.

Pavilion Malaysia di TRAVEX menampilkan Majlis Pelancongan Penjagaan Kesihatan Malaysia (MHTC), Malaysia Airlines dan Lembaga Pelancongan Sarawak.

Bertemakan “ASEAN: A Journey to Wonderful Destinations”, ATF 2023 mewakili harapan utama sektor pelancongan dalam membangunkan destinasi pelancongan utama serantau dan antarabangsa, serta mengukuhkan kedudukan ASEAN sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi dan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan.

ATF 2023 juga merupakan anjuran Jogjakarta untuk kali kedua selepas berjaya menganjurkannya buat kali pertama pada 2002.

Indonesia selaku pengerusi ASEAN 2023 pernah berkhidmat sebagai Pengerusi ASEAN pada 2011, 2003, 1996 dan 1976.

ASEAN ditubuhkan pada 1967 dan dianggotai oleh Indonesia, Malaysia, Filipina, Singapura dan Thailand, dan seterusnya disertai oleh Brunei (1984), Vietnam (1995), Laos (1997), Myanmar (1997) dan Kemboja (1999). – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan