Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang, R.S. Jegan (kanan) menunjukkan lori tangki yang disita pihaknya berhubung kes penyelewengan minyak diesel pada sidang media di Kompleks Penyimpanan Eksibit KPDN, Bukit Minyak di sini hari ini. Foto: TVS

Taktik seleweng minyak diesel guna lori tangki minyak kelapa sawit ditumpaskan

BUKIT MERTAJAM, 3 Feb: Taktik satu sindiket menyeleweng minyak diesel menggunakan lori tangki minyak kelapa sawit terbongkar selepas Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menyerbu sebuah stesen minyak di Juru di sini kelmarin.

Operasi kira-kira pukul 4.40 petang itu dibuat ketika dua individu berusia 20-an dan 30-an sedang leka mengisi minyak diesel ke dalam tangki berkapasiti 39,000 kilogram yang telah diubahsuai.

Pengarah KPDN Pulau Pinang, R.S. Jegan berkata, pihaknya berjaya menghidu kegiatan itu biarpun ahli sindiket terbabit berpura-pura mengisi minyak diesel ke dalam tangki lori itu bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

“Tangki minyak diesel pada lori yang disewa itu telah disambungkan dengan tangki utama melalui tangga yang diubahsuai.

“Minyak diesel yang dipam akan melalui paip pada tangga tersebut yang jika dilihat melalui mata kasar, ia boleh memperdaya orang kerana kelihatan seperti lori tangki biasa,” katanya pada sidang media di Kompleks Penyimpanan Eksibit KPDN, Bukit Minyak di sini semalam.

Ujar beliau, ketika serbuan, sindiket terbabit baru sempat mengisi tangki berkenaan dengan kira-kira 500 liter minyak diesel.

“Kedua-dua lelaki warga tempatan yang merupakan kelindan dan pemandu lori ditahan bagi siasatan lanjut.

“Kita turut menyita lori tangki, minyak diesel, pam motor, set hos, telefon bimbit dan wang tunai kira-kira RM20,000 dengan nilai keseluruhan RM75,625,” katanya lagi.

Beliau memberitahu, kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan