KUCHING, 3 Feb: Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) menubuhkan jawatankuasa khas bersama kerajaan Sarawak sebagai inisiatif menguruskan aset di negeri ini dengan lebih cekap.
Cadangan kolaboratif yang diilhamkan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg itu telah dizahirkan beliau ketika menerima kunjungan hormat daripada Pengerusi FELDA, Tan Sri Dato Seri Idris Jusoh pada Jumaat.
Menurut Idris, FELDA sedang melaksanakan proses rasionalisasi untuk memastikan ia sentiasa maju dan jawatankuasa ini ditubuhkan bagi menyelaraskan pengurusan aset di Sarawak.
“Ahli jawatankuasa khas FELDA akan diletakkan di bawah Timbalan Pengarah Besar FELDA manakala di Sarawak, kita akan bekerjasama dengan Unit Perancang Ekonomi Sarawak”.
“Mereka (jawatankuasa khas) akan menentukan apakah yang akan dilaksana untuk manfaat bersama,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Abang Johari di Wisma Bapa Malaysia hari ini.
Dalam pada itu, Idris mendedahkan jawatankuasa berkenaan juga telah memulakan kerja-kerja untuk baik pulih aset di sini termasuk Hotel Merdeka Palace.
“Sebenarnya kerja-kerja membaik pulih sudahpun bermula sejak tahun lepas dan kita juga sudah menjana keuntungan.”
“Merdeka Palace mempunyai potensi yang sangat baik untuk dibangunkan semula kerana seni bina, lokasi dan juga sejarahnya,” tambah beliau.
Jawatankuasa berkenaan jelas Idris lagi akan turut melihat aset-aset FELDA lain yang ada di negeri ini seperti ladang kelapa sawit di Limbang, Samarahan dan Miri. – TVS