KALABAKAN, 3 Feb: Kementerian Pertanian Dan Keterjaminan Makanan (MAFS) sentiasa menggalakkan kerjasama antara kerajaan Sabah dan Sarawak bagi membangunkan tanah untuk sektor pertanian ke arah memastikan sekuriti makanan negara kekal terjamin.
Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Chan Foong Hin mencadangkan perkara itu ekoran isu pembangunan tanah untuk pertanian di kedua-dua negeri berkenaan tertakluk kepada bidang kuasa kerajaan negeri masing-masing.
“Tanah di Sabah dan Sarawak memang di bawah hal ehwal kerajaan negeri jadi kalau kerajaan Persekutuan nak datang ke Sabah danSarawak untuk melaksanakan projek-projek pembangunan selalu berlakunya proses libat urus.
“Macam mana kita nak memperoleh tanah untuk pembangunan terpulang kepada kerajaan negeri sama ada mahu memberikan tanah untuk melaksanakan projek persekutuan atau dengan sebarang bentuk kerjasama yang lain,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Perjumpaan Dan Amanat Sempena Lawatan Kerja Rasmi Ke Daerah Tawau di Pejabat Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kalabakan di sini, hari ini.
Bagaimanapun katanya, galakan dan sokongan bantuan sama ada dalam bentuk kewangan, pembangunan infrastuktur mahupun latihan kepada masyarakat yang berminat untuk menceburi bidang agro makanan sentiasa diteruskan dari masa ke masa.
Katanya, Sabah dan Sarawak juga mempunyai kuasa untuk membenarkan eksport dan import sumber makanan secara sendiri.
Chan yang juga Ahli Parlimen Kota Kinabalu berkata, pada ketika ini keperluan makanan negara termasuk Sabah dan Sarawak berada pada situasi bekalan makanan yang mencukupi.
Terdahulu beliau berkata, kementeriannya tidak pernah mengabaikan dan sentiasa berusaha membantu petani yang berhadapan kerugian susulan kejadian bencana alam seperti banjir.
Jelasnya, bantuan akan disalurkan kepada petani terlibat melalui dana tabung bencana dalam pelbagai bentuk dan tidak tertakhluk kepada kewangan semata-mata iaitu membabitkan nilai 50 peratus daripada jumlah kerugian. – TVS