IPOH, 3 Feb: Seorang pelatih Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) Perlop di Sungai Siput ditemui mati dipercayai akibat dipukul pada Khamis.
Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu kira-kira pukul 12.55 tengah hari apabila mangsa lelaki berusia 50 tahun ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri.
“Siasatan awal polis di tempat kejadian mendapati terdapat kesan kecederaan pada badannya.
“Manakala hasil bedah siasat di Hospital Raja Permaisuri Bainun mengesahkan ada kesan kecederaan pada belakang badan si mati akibat dipukul dengan objek tumpul,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah Yusri, susulan kejadian itu, polis telah menahan empat individu berusia 30 hingga 38 tahun iaitu tiga kakitangan di pusat pemulihan berkenaan dan seorang pelatih bagi siasatan lanjut.
Suspek direman selama seminggu bermula semalam bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. – TVS