TAWAU, 3 Feb: Cubaan menyeludup 28,000 batang rokok dalam guni berisi muatan buah pisang menggunakan sebuah bot gagal selepas kegiatan itu dihidu Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dalam Ops Sejahtera, pada Sabtu.
Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, berdasarkan maklumat risikan pihaknya mengatur gerak sebuah bot peronda bagi mengesan dan menahan sebuah bot berserta suspek terlibat kira-kira jam 6 pagi di Jeti CIQ Tawau.
Menurutnya, bot penumpang dari Pulau Sebatik menuju ke Jeti CIQ Tawau itu telah ditahan dan diperiksa di kedudukan O.5 batu nautika selatan.
“Didapati seorang juragan lelaki tempatan berusia 33 tahun bersama seorang penumpang wanita warga Indonesia berumur 48 tahun berada di dalam bot tersebut”.
“Hasil pemeriksaan lanjut ke atas muatan di atas bot tersebut menemukan rokok disembunyikan di dalam guni berisi muatan buah pisang yang dipercayai cuba diseludup masuk untuk pasaran tempatan,” katanya menerusi satu kenyataan.
Shahrizan berkata, juragan bersama penumpang serta muatan dan bot ditahan untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat APMM bagi siasatan lanjut di bawah Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967.
“Nilai rampasan rokok berjumlah RM18,000 manakala rampasan keseluruhan termasuk bot beserta enjin dianggarkan bernilai RM43,000,” katanya lagi.
APMM dalam pada itu katanya, akan terus melaksana penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi membanteras sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang khususnya di perairan Tawau.
Sebarang maklumat berkaitan jenayah di laut boleh disalurkan terus ke Pusat Operasi Zon Maritim Tawau di talian 089-750116 atau MERS 999.-TVS