KUCHING, 3 Feb: Sepanjang malam tidak tidur kerana mengalihkan peralatan dalam rumah ke tempat tinggi ekoran banjir di Kampung Simpok, Padawan dekat sini.
Demikian luahan Angelina Sinyang, seorang mangsa banjir melanda mulai malam Khamis sambil menambah, “Banjir besar yang tidak dijangka melanda. Ingatkan cuma banjir kilat macam biasa. Tapi air melimpah begitu cepat memasuki rumah kami dan penduduk kampung yang lain.”
Menerusi catatan di Facebooknya, hari ini beliau berkata hujan lebat menyebabkan selang dua jam, air bah dari sungai tepi rumah melimpah naik.
Hujan mula turun pada 8.30 malam dan disusuli banjir pada 10 malam.
Sementara itu, jumlah mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) akibat banjir di Daerah Siburan meningkat kepada 97 orang setakat 12 tengah hari ini.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) berkata PPS Dewan Kampung Mundai menempatkan 25 orang dari tiga keluarga, manakala PPS SK St Peter di Kampung Simpok dibuka pada 6 pagi dengan 72 orang dari 42 keluarga. – TVS