Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Adam Yii Siew Sang merasmikan Majlis Apresiasi Permata Permaisuri di SMK Dato Permaisuri, Miri, hari ini. Foto: TVS.

ABC lahirkan generasi berilmu dan berakhlak mulia – Adam Yii

MIRI, 3 Feb: Generasi muda perlu dipersiapkan dengan keperluan abad ke-21 sebagai generasi Anak yang Baik lagi Cerdik (ABC) untuk masa hadapan mereka.

Bukan sekadar belajar di sekolah, murid-murid kini dididik untuk menjadi modal insan berilmu dan berakhlak mulia sebagai pewaris negara pada masa hadapan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut, Adam Yii Siew Sang berkata hal ini kerana sistem pendidikan sentiasa mengalami proses perubahan dan pembaharuan seiring dengan peredaran dan keperluan zaman.

“Kita mendapati peranan pendidikan telah berubah dengan jelas daripada fungsi tradisionalnya. Murid-murid bukan sahaja datang ke sekolah untuk belajar tetapi dididik sebagai pewaris negara agar menjadi modal insan yang berilmu dan berakhlak mulia.

“Lantaran itu, sistem pendidikan kita sentiasa mengalami proses perubahan dan pembaharuan seiring dengan peredaran zaman. 

“Usaha menjadikan para murid sebagai generasi ABC amat penting bagi mempersiapkan generasi muda dengan keperluan abad ke-21 ini,” katanya pada Majlis Apresiasi Permata Permaisuri (MAPP) di SMK Dato Permaisuri di sini, hari ini.

Bagi mencapai matlamat standard pendidikan berkualiti di peringkat kebangsaan, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah melaksanakan pelbagai program bagi meningkatkan ibu bapa dan komuniti dengan sekolah di dalam pembelajaran para pelajar.

“Sasaran membawa negara mencapai standard pendidikan berkualiti pada peringkat antarabangsa perlu digalas oleh semua pihak. Sudah semestinya pihak yang bertanggungjawab menggalas tanggungjawab utama ini ialah KPM. 

“Pelbagai program telah diperkenalkan oleh KPM termasuklah program yang meningkatkan penglibatan ibu bapa dengan pembelajaran anak-anak serta menggalakkkan pelibatan komuniti dengan sekolah seperti yang termaktub dalam Laporan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025,” katanya lagi.

Beliau menasihatkan agar ibu bapa tidak bersikap lepas tangan dan menyerahkan tanggungjawab pendidikan sepenuhnya kepada para guru dan sekolah.

Ibu bapa perlu memastikan usaha yang dimulakan di sekolah akan diteruskan apabila anak murid pulang ke rumah supaya proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) dapat dilakukan secara berterusan. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan