PETALING JAYA, 1 Feb: Seorang penghuni sebuah pangsapuri di Flora Damansara rentung selepas kediaman itu terbakar malam tadi.
Pusat Gerakan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menerima panggilan berhubung kes itu pada jam 9.13 malam.
Sebanyak empat jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Damansara, Sungai Buloh, Kota Anggerik serta Puchong digerakkan ke lokasi kejadian.
Jurucakap Bomba berkata, kebakaran tersebut membabitkan sebuah unit di tingkat 21 blok D pangsapuri berkenaan.
“Anggota Bomba segera menjalankan operasi memadamkan kebakaran dan api berjaya dikawal pada jam 10.20 malam.
“Pangsapuri berkenaan musnah hampir 90 peratus dan seorang mangsa ditemui rentung,” katanya dan menambah punca kejadian sedang disiasat. – TVS