KAPIT, 1 Feb: Kerajaan Sarawak melalui Agensi Pembangunan Ulu Rajang (URDA) telah membelanjakan sebanyak RM400 juta dalam tempoh tiga tahun untuk melaksanakan projek pembangunan di sini, kata Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Premier Sarawak itu berkata, projek-projek di pusat bandar yang dijalankan termasuklah projek rakyat yang berjalan dengan baik selain kerajaan negeri juga akan melaksanakan projek-projek kecil di kawasan yang berpotensi tinggi.
“Ini termasuk di Song, kita bangunkan jalan raya, ada yang sudah siap dan masih ada yang dalam pelaksanaan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Penyelarasan Pembangunan Negeri, di Kompleks Kerajaan Negeri Kapit, di sini hari ini.
Yang turut hadir, tiga Timbalan Premier Sarawak iaitu Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Dato Sri Dr. Sim Kui Hian serta Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.
Sempena mesyuarat berkenaan, Abang Johari turut menyampaikan Cek Bantuan Dana Sekolah-Sekolah Mubaligh bagi 2022 dan menyempurnakan perasmian bangunan baharu URDA Bahagian Kapit. -TVS