SARATOK, 1 Feb: Penduduk dikejutkan dengan kebakaran sebuah rumah kosong dua tingkat jenis separuh kekal di Sungai Engkabang Roban, petang semalam.
Kejadian kira-kira jam 6.20 petang itu mengakibatkan kediaman tidak berpenghuni itu musnah 80 peratus.
Menurut Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Saratok digerakkan ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan pada jam 6.22 petang.
“Setibanya di lokasi, api masih marak. Pada peringkat awal operasi ini, kita memadam api dengan menggunakan saluran air tangki jentera berikutan ketiadaan pili Bomba di kawasan berhampiran kejadian.
“Bagaimanapun, sebagai langkah seterusnya, pihak Bomba terpaksa menyedut air kolam yang berada pada jarak kira-kira 30 meter dari kediaman terbabit sehingga api dapat dikawal dan dipadam sepenuhnya,” katanya dalam satu kenyataan.
Katanya, tiada sebarang laporan kemalangan jiwa atau kecederaan sepanjang operasi berkenaan.
Bomba turut melakukan pemantauan susulan bagi memastikan keadaan benar-benar selamat sebelum bertolak balik ke balai. Operasi ini berakhir pada jam 7.55 malam.
“Punca kejadian masih dalam siasatan,” tambahnya.-TVS