KUCHING, 31 Jan: Stesen televisyen Sarawak, TVS merancang untuk menjalin kerjasama dengan stesen televisyen serantau seperti Indonesia dan Brunei.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan Unit Komunikasi Awam Sarawak) Datuk Abdullah Saidol berkata perkara itu sedang dalam perbincangan dengan pihak berkaitan.
Beliau percaya jalinan kerjasama itu kelak akan memberi pendedahan yang lebih besar kepada TVS dalam mengembangkan industri penyiaran khususnya di Sarawak.
“Harapan YAB Premier Sarawak (Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg) adalah agar TVS dapat berkembang dan meneroka peluang untuk bekerjasama dengan stesen TV yang terdekat seperti TVB (Brunei) dan stesen televisyen di Indonesia,” katanya pada sidang media konsert Exists Resolusi di sini, hari ini.
Hadir sama, Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Snowdan Lawan.
Dalam masa sama, beliau juga berharap untuk membuat kerjasama dalam program dokumentari, drama dan produksi bersama stesen televisyen serantau.
“Kita juga berfikir untuk menjalinkan kerjasama serta mengetengahkan bakat-bakat yang ada daripada Sarawak, Indonesia, Brunei ataupun Singapura dalam produksi drama, hiburan dan sebagainya”, ujarnya.
Antara lain jelasnya, kerjasama itu juga dilihat membolehkan pihak terlibat bertukar idea dalam membangunkan industri kreatif di Sarawak.