BINTULU, 31 Jan: Samalaju Industrial Port Sdn Bhd (SIPSB) mencapai hasil operasi memberangsangkan iaitu berjumlah RM164.6 juta dengan daya pengeluaran kargo sebanyak 6.6 juta tan pada tahun lalu.
Berucap di Majlis Sambutan Ulang Tahun ke-10 Pelabuhan Samalaju di Bintulu di sini, malam tadi, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menzahirkan penghargaan kepada syarikat tersebut kerana berjaya membina, mengurus dan mengendalikan pelabuhan itu terutamanya dalam memberi perkhidmatan kepada industri di Zon Perindustrian Samalaju.
“SIPSB beroperasi sepenuhnya sejak tahun 2017, kita jangkakan pelabuhan ini akan mengendalikan lebih 10 juta tan kargo menjelang 2030 seiring dengan pertumbuhan stabil industri berat di Samalaju.
“Jumlah kos bagi pembangunan pelabuhan tersebut ialah RM1.71 bilion termasuk pengorekan saluran pelayaran dan pemecah ombak, “ katanya.
Pada majlis itu, Abang Johari turut menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara SIPSB dan Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC), Ocikumho Sdn Bhd dan Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA).
Hadir sama pada majlis itu ialah isteri beliau Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Datuk John Sikie Tayai, Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom dan Pengurus Bintulu Port Holdings, Datuk Abdul Mutalib Alias. – TVS