Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg (tengah) pada sesi taklimat ketika lawatan kerja ke Loji Metanol Sarawak Petchem, Bintulu, hari ini. Foto: Fiqri Razak (TVS)

Sarawak rancang bangunkan loji metanol kedua – Abang Johari

ByHafeezzur Muzamir

BINTULU, 31 Jan: Kerajaan Sarawak merancang untuk membina satu lagi loji metanol selepas siapnya Loji Metanol Sarawak Petchem di Tanjung Kidurong bernilai RM5 bilion yang dijadual beroperasi pada suku pertama 2024.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, rancangan untuk membangunkan fasiliti itu dibuat susulan kepercayaan yang tinggi dipamerkan pihak institusi kewangan kepada Sarawak, setelah melihat kesungguhan wilayah ini dalam mengusahakan industri hiliran gas.

“Selepas siapnya loji metanol pertama ini nanti, kita akan bangunkan loji yang kedua pula, dari sudut pembiayaan semua sudah kita sediakan. Ini melibatkan pelaburan sektor swasta dan bukannya kerajaan,“ katanya ketika ditemui pemberita selepas melakukan lawatan kerja di Loji Metanol Sarawak Petchem hari ini.

Hadir sama ialah Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Datuk John Sikie Tayai, Pengerusi Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC), Tan Sri Datuk Amar Dr Abdul Aziz Husain dan Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Petchem Sdn Bhd, Muhammad Ibrahim.

Jelas Abang Johari, Sarawak akan terus mempunyai masa depan yang cerah dalam industri minyak dan gas yang mana ia dibuktikan dengan penemuan lapan daripada 10 lokasi baharu minyak dan gas di Malaysia oleh Petroliam Nasional Berhad (Petronas).

“Saya merasakan ‘gas heat shock’ kita mencukupi, cuma apa yang diperlukan adalah penggunaan teknologi terkini untuk menggalakkan industri hiliran. Kita juga turut akan membangunkan hab petrokimia secara berperingkat,“ jelasnya.

Sementara itu, mengulas mengenai lawatannya pada hari ini, Abang Johari memaklumkan Loji Metanol Sarawak Petchem dijangka akan siap sepenuhnya seperti yang dijadualkan.

“Saya telah diberi taklimat bahawa pelaksanaannya mengikut jadual yang mana ini merupakan tahun terakhir untuk mereka menyiapkan loji ini. Saya turut dimaklumkan bahawa pada bulan April nanti, mereka akan mula mencuba gas yang akan disalurkan kepada loji ini,” katanya.

Katanya, jika semuanya berjalan seperti yang dirancang, Sarawak akan dapat mengeluarkan metanol pada Januari tahun depan dan seterusnya dapat dipasarkan. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan