Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Ketua Pengarah Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP), Datuk Seri Rosida Jaafar. Foto: Bernama

Program mesra rakyat sempena Hari Wilayah Persekutuan 2023

ByBernama

KUALA LUMPUR, 31 Jan: Sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2023 (SHWP 2023) akan memberikan fokus kepada program kesejahteraan dan kebajikan yang berterusan kepada golongan B40 dan miskin di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

Pelaksanaan program SHWP 2023 yang berlangsung sepanjang bulan ini, juga berkonsepkan mesra rakyat dan melibatkan penyertaan daripada pelbagai kaum dan lapisan masyarakat.

Ketua Pengarah Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP), Datuk Seri Rosida Jaafar berkata, SHWP 2023 mengambil tema ‘Wilayah Persekutuan Untuk Semua’ yang membawa maksud kepada aspirasi JWP untuk menjadikan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan sebagai sebuah bandar yang mencerminkan nilai perpaduan, kesefahaman dan kekitaan seluruh komuniti di Wilayah Persekutuan.

Beliau berkata, tema itu juga melambangkan nilai muafakat yang dimiliki oleh semua warga tidak kira latar belakang bangsa, kaum dan agama seterusnya menjadikan Wilayah Persekutuan sebagai pusat pertumbuhan ekonomi negara yang berkembang maju.

“Pemilihan tema ini adalah seiring dengan matlamat nasional Malaysia Madani yang memberi penekanan kepada keterangkuman dan kesaksamaan dalam kalangan lapisan masyarakat majmuk khususnya di Wilayah Persekutuan.

“Saya percaya pemilihan tema ini mampu merangsang semangat kekitaan dalam kalangan warga Wilayah Persekutuan untuk bersama-sama memajukan serta memakmurkan bumi Wilayah Persekutuan ke arah sebuah bandar raya metropolitan lestari dan berdaya huni,” katanya dalam kenyataan kepada Bernama.

Beliau berkata, program utama yang dijadualkan termasuk Program Jualan Rakyat MYGrocer@Wilayah, Baiti Jannati@Wilayah Persekutuan dan Formasi Muzikal Air yang melibatkan pertunjukan air pancut berirama dan hiasan berlampu pada sepanjang bulan ini di ketiga-tiga Wilayah Persekutuan.

“Turut diadakan Kempen Kibar Bendera Wilayah Persekutuan yang telah bermula pada 15 Januari hingga 28 Februari ini dan program Mucang-Mucang Se Wilayah yang merupakan sinonim kepada aktiviti gotong-royong dalam dialek Brunei.

“Selain itu, program lain yang dirancang adalah Program Jualan Peniaga dan Penjaja Kecil, Majlis Bacaan Yasin dan Doa Selamat pada 2 Februari, Khutbah Jumaat Khas sempena SHWP 2023 pada 3 Februari dan Program Derma Darah,” katanya.

Rosida berkata, semua program SHWP 2023 disusun selaras dengan saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya kementerian dan agensi kerajaan menghentikan penganjuran majlis besar-besaran bagi mengelak pembaziran perbelanjaan kerajaan.

Hari Wilayah Persekutuan disambut pada 1 Februari setiap tahun bagi memperingati pengisytiharan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan sebagai Wilayah Persekutuan dan tahun ini merupakan sambutan kali ke-19 sejak diperkenalkan pada 2004.

Kuala Lumpur diisytiharkan sebagai Wilayah Persekutuan pada 1974 manakala Labuan pada 1984 dan Putrajaya pada 2001.

Sementara itu, Rosida berkata, tadbir urus dan kawal selia Wilayah Persekutuan masih diletakkan di bawah fungsi JWP, walaupun bukan lagi berfungsi sebagai sebuah kementerian, JWP telah diletakkan secara terus sebagai sebuah agensi di bawah seliaan Jabatan Perdana Menteri (JPM).

“Dalam hal ini, peranan dan fungsi JWP menjadi lebih signifikan memandangkan hal ehwal Wilayah Persekutuan kini ditadbir secara terus di bawah kawalan Perdana Menteri selaku Menteri yang bertanggungjawab terhadap Wilayah Persekutuan,” katanya.

Menurutnya, JWP kekal komited dalam meneraju Wilayah Persekutuan ke arah pembangunan fizikal, ekonomi, sosial dan alam sekitar yang mampan melalui kerjasama strategik yang inklusif dalam menjamin kemajuan dan kesejahteraan warga Wilayah Persekutuan seiring dengan matlamat Malaysia Madani.

Rosida berkata, JWP melalui Pelan Strategik JWP 2021-2025 telah menggariskan 78 program dan aktiviti yang terangkum dalam lapan Teras Strategi Utama iaitu Wilayah Bersih, Keselamatan Awam, Sistem Pengangkutan yang Efisien, Sosioekonomi Mampan, Persekitaran Hijau, Komuniti Inklusif, Perancangan dan Pengurusan Guna Tanah yang Mampan serta Tadbir Urus dan Keupayaan Organisasi. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan