KUCHING, 31 Jan: Dalam usaha mengesan pencarum atau warisnya yang layak menerima faedah, pegawai Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) tidak sekadar menunggu di pejabat menunggu laporan.
Sebaliknya, Pengarah PERKESO Sarawak Tan Phang Chia berkata para pegawainya giat mengesan golongan berkenaan dengan berbagai cara.
“Kita tidak tunggu orang tampil. Kita tak tunggu majikan yang melapor. Kita yang keluar untuk mencari,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika penyerahan Faedah Pencen Penakat kepada suami arwah Nuratirah Athirah Jaafar, Mohd Mumin Ardi yang disempurnakan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri, di sini, hari ini.
Nur Athirah meninggal dunia selepas rebah di tempat kerjanya pada 26 Disember 2022, sehari selepas menyambut ulang tahun kelahiran anaknya.
Menurutnya, selain media sosial, pihaknya juga menggunakan cara lain seperti rangkaian kenalan untuk mendapatkan maklumat mengenai pencarum yang layak menerima faedah PERKESO.
“Kita cuba mendapatkan maklumat dari pelbagai punca, sumber, termasuk juga Facebook, surat khabar, mungkin juga rangkaian kawan-kawan dan sebagainya untuk mengenal pasti musibah-musibah seperti ini dan jika kita mendapati ada maklumat-maklumat yang betul, tepat dan layak sebagai ahli PERKESO, memang kita akan bantu.
“Kita memang ada skuad khas untuk melaksanakan aktiviti ini,” ujarnya.
Dalam pada itu, Nancy berkata beliau kagum dengan keprihatinan dan kepantasan PERKESO dalam bertindak mengesan waris atau ahli keluarga pencarum yang meninggal dunia bagi tujuan penyerahan faedah-faedah tersebut.
Menurutnya, usaha pengesanan yang dilakukan melalui pelbagai cara termasuk media sosial, merupakan satu perkara positif kerana media sosial digunakan untuk tujuan baik. – TVS