PERAI, 31 Jan: Tindakan sekumpulan warga asing membuat bising dan bergembira di hadapan beberapa buah rumah teres di Taman Nagasari di sini, menimbulkan rasa kurang senang dan rasa tidak selesa penduduk tempatan.
Insiden itu mendapat perhatian apabila satu rakaman video yang memaparkan kejadian tersebut telah dimuat naik ke aplikasi sosial TikTok dan tular.
Difahamkan warga asing terbabit mendiami beberapa buah rumah di kawasan berkenaan yang dijadikan sebagai asrama pekerja.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner (ACP) Tan Cheng San berkata, pihaknya mengesan video terbabit dimuat naik pengguna TikTok, norfapxr3o1 yang menunjukkan sekumpulan warga asing sedang mengganggu ketenteraman awam.
Ujar beliau, sejurus mengesan video berdurasi 44 saat itu semalam, pihak polis segera melakukan rondaan di kawasan Taman Nagasari yang didakwa lokasi kejadian.
“Bagaimanapun siasatan polis mendapati masa dan tarikh tidak dipastikan kerana tiada laporan atau maklumat berkaitan disalurkan.
“Pihak polis sedang merancang dan akan mengambil tindakan lanjut bagi menangani masalah membabitkan warga asing di kawasan tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, polis mengalu-alukan kerjasama orang awam untuk menyalurkan maklumat berkenaan dengan menghubungi pihaknya atau berhubung mana-mana balai polis berhampiran.
Sementara itu, video yang telah menerima lebih 13,000 tanda suka dan lebih 700 komen tersebut memaparkan sekumpulan lelaki didakwa warga asing berlegar-legar di kawasan jalan raya di hadapan beberapa buah rumah.
Sebahagaian daripada mereka kelihatan berjalan sambil menari dengan rentak muzik yang dipasang dengan kuat.
Menurut individu yang memuat naik rakaman yang dibuat dari sebuah rumah itu, dia mendakwa kebanjiran warga asing di taman perumahan menyebabkan mereka tidak menghormati penduduk tempatan.
Individu tersebut mendakwa warga asing berkenaan membuat bising dari pagi hingga malam selain mengatakan kawasan tersebut sudah tidak terkawal. – TVS