SINGAPURA, 30 Jan: Kelebihan pelbagai sumber yang dimiliki Sarawak menjadi faktor ia berjaya menarik pelaburan masuk, kata Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Menurut Premier Sarawak itu, selepas membuktikan kemampuan menghasilkan tenaga hidrogen, Sarawak kini beralih kepada tenaga solar yang dilaksanakan di Batang Ai.
Ketika ini kata Abang Johari mempunyai simpanan sebanyak 5,000 megawat tenaga solar dan dijangka akan terus meningkat.
“Menjelang 2030, di bawah Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030, mungkin kita (Sarawak) akan mempunyai tenaga sebanyak 10,000 megawat.
“Ini dengan dengan adanya Baleh (Empangan Hidroelektrik Baleh) dan sudah tentu solar ni akan merangsang ekonomi kita,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada TVS selepas menyertai delegasi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan kunjungan bertemu Presiden Singapura, Halimah Yacob dan Perdana Menteri, Lee Hsien Loong sempena lawatan rasmi ke negara ini hari ini.
Delegasi Sarawak turut disertai oleh Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Datuk Julaihi Narawi dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki.
Sementara itu, Abang Johari berkata, penting untuk Sarawak meningkatkan keupayaan dan kepakaran tenaga kerjanya.
“Kita ada tenaga elektrik tetapi kita juga berkehendak tenaga manusia yang boleh terlibat dalam industri baharu yang akan berpengkalan di Sarawak,” katanya. -TVS