Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Datuk Seri Anwar Ibrahim melakukan kunjungan hormat ke atas Presiden Singapura, Halimah Yacob di Istana hari ini. Foto: Bernama

Keterjaminan makanan bidang baharu untuk diteroka bersama Singapura – Anwar

ByBernama

SINGAPURA, 30 Jan: Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim melihat bidang keterjaminan makanan sebagai salah satu bidang yang boleh diteroka bersama dengan Singapura, dengan sasaran memberi manfaat kepada rakyat kedua-dua negara.

Anwar yang dalam lawatan rasmi di sini hari ini berkata bidang baharu itu boleh diteroka, seiring dengan isu-isu tertunggak lain yang perlu diberi tumpuan oleh Malaysia dan Singapura.

“Bidang ini (keterjaminan makanan) yang saya fikir kami akan dapatkan sokongan Singapura, untuk menggunakan Malaysia sebagai pusat utama untuk pengeluaran, bagi manfaat kedua-dua negara,” katanya semasa berucap di majlis makan tengah hari rasmi yang dihoskan oleh rakan sejawatnya dari Singapura Lee Hsien Loong.

“Pentadbiran saya masih baharu, namun pandangan saya dan kabinet saya jelas.. bahawa bukan sahaja kita berhasrat meneruskan hubungan (dua negara), malah kita mahukan supaya rakyat di kedua-dua negara faham bahawa kita adalah dua negara hebat, jiran yang hebat, banyak lagi yang boleh kita lakukan untuk manfaat rakyat,” katanya.

Sehubungan itu katanya terpulang kepada pemimpin-pemimpin Singapura untuk meneruskan dan melangkah maju ke hadapan, bukan sahaja dalam bidang perdagangan, pelaburan, dan keselamatan siber, tapi juga dalam menyeleasaikan semua isu-isu tertunggak.

Terdahulu kedua-dua pemimpin menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman yang akan memupuk kerjasama dalam bidang baharu dan meningkat maju, terutama berkaitan ekonomi digital dan hijau, serta keselamatan siber.

Sementara itu Lee dalam ucapannya berkata Anwar dan beliau telah mengadakan perbincangan yang banyak membuahkan hasil awal hari ini, termasuk mengenai bagaimana kedua-dua negara boleh mencapai kemajuan dalam pelbagai isu dua hala yang tertunggak.

“Sebagai rakan dan jiran yang baik, hala tuju Singapura dan Malaysia adalah saling berkaitan. Apabila kita bekerjasama secara konstruktif, kita akan mendapatkan hasil menang-menang dengan manfaat ketara bagi rakyat dan urusan kita.

“Saya yakin, dengan sokongan Perdana Menteri Malaysia, hubungan Singapura-Malaysia boleh mencapai tahap yang tinggi,” katanya.

Terdahulu Anwar mengadakan pertemuan empat mata dengan Lee, sebelum membuat kunjungan hormat ke atas Presiden Halimah Yacob.

“Presiden Halimah akan melawat Malaysia tidak lama lagi. Ia adalah tanda-tanda awal bahawa hubungan kedua-dua negara semakin bertambah akrab,” katanya. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan