SIBU, 29 Jan: Satu objek asing dipercayai serpihan roket Long March 5b milik China yang ditemui di sebuah kebun persendirian di Batu 19 Sepudu, Pasai Siong pada 3 Disember lalu telah dihantar ke Kuala Lumpur untuk dianalisis lebih lanjut di Jabatan Kimia, Petaling Jaya pada Jumaat.
Serpihan objek tersebut telah dibawa dari Jabatan Kimia Sibu dengan menggunakan sebuah lori milik Polis DiRaja Malaysia (PFRM) ke Lapangan Terbang Sibu (LTS) pagi Sabtu.
Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner (ACP) Zulkipli Suhaili berkata, proses penghantaran yang diiringi oleh Unit Kereta Peronda (MPV) berjalan lancar dari Jabatan Kimia Sibu ke LTS pada jam 9.00 pagi itu.
“Pasukan Unit Peronda MPV IPD Sibu telah ditugaskan untuk mengiringi sebuah lori PDRM untuk menghantar objek asing yang menyerupai sejenis logam dari Jabatan kimia Sibu ke LTS,” katanya menerusi satu kenyataan semalam.
Baca artikel berkaitan:
- 1. MOSTI sahkan serpihan roket China masuk ruang udara Sarawak
- 2. Agensi Angkasa Malaysia nasihat orang awam jangan alihkan serpihan roket
- 3. Serpihan dipercayai milik roket Long March 5B ditemui di Miri
Katanya, objek tersebut kemudian diserahkan kepada pihak Tentera Udara DiRaja Malaysia (TUDM) untuk diterbangkan menggunakan pesawat TUDM sebelum diserahkan kepada pihak Jabatan Kimia di Petaling Jaya untuk tujuan penganalisaan lanjut.
Terdahulu katanya, pihak polis bersama pasukan Bomba dan Penyelamat Sg. Merah, Jabatan Kimia Sibu serta Lembaga Perlesenan Tenaga Atom Malaysia (Bintulu) telah pergi ke lokasi kejadian pada 3 Disember lalu dan menjumpai sekeping objek menyerupai logam berwarna kelabu berukuran panjang 24 kaki dan 1.5 kaki lebar dengan ketebalan setengah inci.
Katanya, pemeriksaan lanjut yang dilakukan oleh pihak Atom Malaysia ketika itu telah mengesahkan objek tersebut tidak mengeluarkan sebarang radiasi serta tiada unsur bahan radioaktif dikesan sama ada secara dedahan luaran mahupun kontaminasi pada objek tersebut
Menurut Zulkipli penghantaran objek asing tersebut ke Kuala Lumpur telah berjalan dengan lancar dan kes masih disiasat. – TVS