KUCHING, 29 Jan: Penduduk di Dalat, Mukah riuh rendah apabila menemui dan mengutip lameh atau lelamas melintas jalan Sungai Kut pada petang Sabtu.
Para penduduk di daerah berkenaan memuat naik gambar dan video yang menunjukkan penduduk kampung beramai-ramai mengutip ulat itu yang merayap di tepi jalan dan menjalar di daun pokok sejak petang Sabtu.
Bagaimanapun lameh yang dikutip mereka tidak dapat dimakan kerana ia jenis ‘tipou’ (induk) lameh. Tipou lameh rasanya pahit.
“Riuh rendah kami ikut serta mengutip, tapi tidak boleh dimakan sebab belum bersarang kata orang tua,” catat seorang penduduk di media sosial.
“Lameh-lameh gak jalan Sungai Kut. Ilak ji idei. (Lameh-lameh di jalan Sungai Kut. Tengoklah),” kata seorang lagi penduduk.
Lameh, sejenis ulat ‘kayangan’ merupakan makanan unik kaum Melanau di Daerah Dalat dan Mukah.
Disebabkan rasa yang berlemak dan jarang ditemui, harganya dikatakan mencecah ratusan ringgit sekilogram.
Habitat bagi ulat ini adalah di dalam daun pokok Nyatoh dan hanya terdapat di hutan-hutan tertentu sahaja di sekitar Dalat dan Mukah. – TVS