KUALA LUMPUR, 29 Jan: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengadakan lawatan rasmi ke Singapura esok (30 Jan) atas jemputan rakan sejawatnya dari Singapura Lee Hsien Loong.
Lawatan ini merupakan lawatan rasmi sulung beliau ke Singapura selepas menyandang jawatan Perdana Menteri Malaysia yang ke-10.
Kementerian Luar Malaysia (Wisma Putra) dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa Anwar akan bertemu pemimpin-pemimpin Singapura termasuk Presiden Halimah Yacob dan Perdana Menteri Lee.
“Kedua-dua perdana menteri juga akan menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman untuk mempromosikan Kerjasama dalam Data, Keselamatan Siber dan Ekonomi Digital serta dua Kerangka Kerjasama dalam Ekonomi Digital dan Ekonomi Hijau.
Anwar juga akan mengadakan pertemuan dengan diaspora Malaysia di Singapura.
“Lawatan ini mencerminkan hubungan akrab antara Malaysia dan Singapura sebagai jiran rapat serta negara anggota ASEAN, termasuk jalinan antara rakyat yang erat serta hubungan ekonomi yang kukuh.
“Lawatan ini juga akan memberi peluang kepada kedua-dua belah pihak untuk meneroka peluang kerjasama bagi meningkatkan lagi hubungan dua hala dan membincangkan isu serantau serta antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama,” menurut Wisma Putra.
Perdana Menteri akan diiringi isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Rombongan delegasi itu juga disertai Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Komunikasi dan Digital, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil serta para pegawai kerajaan dari kementerian dan agensi berkaitan.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi turut menyertai delegasi itu.
Pada 2022, Singapura merupakan rakan dagangan kedua terbesar Malaysia dan terbesar dalam kalangan negara ASEAN dengan jumlah perdagangan mencatat RM367.53 bilion (US$83.53 bilion) iaitu peningkatan sebanyak 29.4 peratus berbanding nilai yang dicatatkan pada 2021.