KUCHING, 29 Jan: Bidang pendidikan dan kesihatan diyakini berpotensi merangsang pembangunan Sarawak kata Timbalan Menteri Pembangunan Kesejahteraan Komuniti, Mohammad Razi Sitam.
Menurutnya hasrat berkenaan mendorong kerajaan Sarawak menyenaraikan dua bidang itu antara tuntutan bagi menurunkan kuasa kepada negeri ini seperti yang termaktub pada Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Bila kita memanfaatkan apa yang terkandung dalam MA63 kita boleh melihat pembangunan kepada Sarawak selepas ini,” katanya.
Mohammad Razi berkata demikian pada majlis perasmian mesyuarat agung tahunan ke-26 Persatuan Alumni Universiti Sains Malaysia di Dewan Pembangunan Siswa 1, Kompleks Cahaya Siswa, Universiti Sains Malaysia, pada Sabtu.
Sementara itu, katanya inisiatif Sarawak mewujudkan sekolah antarabangsa menerusi Yayasan Sarawak mempamerkan kesungguhan kerajaan melahirkan modal insan dalam kalangan masyarakat.
“Hasrat Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg adalah untuk menjadikan Sarawak sebagai hab pendidikan di rantau ini,” ujarnya.
Mohammad Razi optimis Sarawak berupaya menjadi pilihan rakyat negara jiran iaitu Brunei dan Indonesia untuk meningkatkan bidang pendidikan mereka kelak di sini. -TVS