BINTULU, 29 Jan: Kerajaan Sarawak mengharapkan peruntukan lebih besar menerusi pembentangan semula Bajet 2023 pada 24 Februari ini, kata Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom.
Menurutnya, peruntukan yang besar daripada kerajaan Persekutuan penting bukan sahaja untuk kegunaan pembangunan infrastruktur tetapi juga bagi memperkasa sekuriti makanan di Sarawak.
“Tempoh hari saya ada terdengar Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) ingin beri tumpuan mengenai sekuriti makanan, jadi kita harap Sarawak akan mendapat peruntukan lebih besar supaya kita dapat kukuhkan sekuriti makanan kita.
“Besar harapan kita supaya Sarawak dapat bahagian sewajarnya, “ katanya ketika ditemui pemberita semasa menghadiri Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina di sini, hari ini.
Jelasnya, peruntukan lebih besar kepada Sarawak akan membantu wilayah ini memanfaatkan tanah yang luas ke arah merealisasikan matlamat menjadi bakul makanan negara. – TVS