KUCHING, 29 Jan: Para alumni diseru untuk sentiasa mengingati pelajaran dan pengalaman yang diperoleh semasa di menara gading serta terus menjalin hubungan baik dengan universiti.
Timbalan Menteri Pembangunan Kesejahteraan Komuniti Mohammad Razi Sitam berkata hubungan setiap individu dengan ‘alma maternya’ perlu berterusan walaupun telah lama meninggalkan zaman bergelar pelajar.
“Ingatlah dengan kepentingan kerja keras serta dedikasi dan ketabahan ketika di universiti dahulu telah melahirkan kita pada hari ini,” katanya.
Mohammad Razi berkata demikian pada program ‘Back To Campus 2023’ Universiti Sains Malaysia (USM) di sini, pada Sabtu.
Tidak kira di mana pusat pengajian tinggi (IPT) sekalipun, menurut Mohamad Razi pengorbanan para pendidik yang menyampaikan ilmu telah membentuk sahsiah mulia dalam kalangan generasi muda.
“Mereka juga telah mengajar kepentingan pemikiran kritikal dan ‘the power of knowledge’.”
“Para pendidik juga telah membuktikan bahawa kita semua mampu melakukan lebih dari apa yang kita fikirkan,” ujarnya.
Semangat menghargai golongan pendidik tegasnya wajar diwarisi kepada generasi muda ekoran nilai murni ini mencerminkan masyarakat di mata orang luar. -TVS