SIBU, 28 Jan: Polis Marin (PPM) Wilayah Lima merampas sebuah kapal tunda bersama diesel yang dianggarkan bernilai RM134,500 di perairan Pulau Kerto di sini pada Jumaat.
Dalam serbuan Op Kontraban dan Op Pensura itu, sepasukan pegawai dan anggota PPM Sibu yang menjalankan rutin rondaan menggunakan Bot Pac 376 telah memeriksa sebuah kapal tunda muatan minyak yang mencurigakan di lokasi kejadian pada jam 9 malam.
Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner (ACP) Zulkipli Suhaili berkata, hasil pemeriksaan yang dilakukan mendapati kapal berkenaan membawa muatan minyak diesel yang dianggarkan lebih kurang 17,000 liter.
Baca artikel berkaitan: Lagi cubaan seleweng diesel bersubsidi di Sibu digagalkan polis marin
“Pemeriksaan yang dijalankan oleh Pasukan Polis Marin Sibu mendapati seorang jurugan dan pembantu warga tempatan berusia 74 dan 61 tahun gagal mengemukakan sebarang bukti berdokumen atau permit berkaitan dengan pemindahan diesel daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN),” katanya menerusi satu kenyataan pada Sabtu.
Sehubungan itu, katanya pasukan operasi telah bertindak menahan kedua-dua lelaki berkenaan untuk siasatan lanjut.
Menurutnya, kapal tunda serta peralatannya dianggarkan bernilai RM75,000 manakala minyak diesel di dalam tangki dianggarkan bernilai RM59,500 kemudian dirampas.
“Nilai anggaran keseluruhan barang rampasan bernilai RM134,500.,” katanya.
Tambahnya, kesemua barang rampasan dan suspek diserahkan kepada pegawai penyiasat KPDN Bahagian Sibu untuk siasatan dan tindakan lanjut di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961. – TVS