Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Datuk Seri Fadillah Yusof bersama isteri Datin Sri Ruziah Mohd Tahir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong Fazzrudin Abdul Rahman, ADUN Samariang, Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali dan ADUN Satok Datuk Ibrahim Baki memotong pulut kuning sebagai simbolik kesyukuran dalam meraikan sumbangan dan peranan jentera PBB Petra Jaya. Foto: Luqman Muhammad (TVS)

Jentera PBB diminta waspada ideologi politik kusam – Fadillah Yusof

ByLuqman Muhammad

KUCHING, 28 JAN: Naib Presiden Kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Seri Fadillah Yusof mengingatkan jentera PBB agar sentiasa berwaspada terhadap ideologi politik kusam yang boleh menjejaskan keampuhan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Menurut Timbalan Perdana Menteri itu kerjasama GPS dengan parti lawan dalam membentuk kerajaan perpaduan merupakan senario politik baharu yang perlu didepani dalam nada berjaga-jaga.

“Ingatan kepada kita semua jangan leka apabila ketika ini kita berada dalam kerajaan perpaduan kerana ada yang bersemangat sebab mereka mengatakan Perdana Menteri adalah pemimpin parti mereka.”

“Oleh sebab itu kini kita perlu memastikan jentera kita agar tidak leka dan terus memberi khidmat terbaik kepada rakyat khususnya di Sarawak ini dan kawasan parlimen kita supaya mereka mengetahui yang membawa pembangunan dan membantu rakyat adalah parti GPS,” tegas beliau.

Fadillah yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya berkata demikian ketika berucap pada Majlis Apresiasi Jentera PBB Petra Jaya di sini, pada Sabtu.

Dalam pada itu, jelasnya lagi ucapan tahniah atas pelantikan beliau menjadi pemimpin anak Sarawak pertama sebagai Timbalan Perdana Menteri dikhuatiri hanya akan melalaikan beliau kerana pujian terbabit.

Justeru itu kata Fadillah, ucapan takziah merupakan yang terbaik sebagai peringatan kepada beliau untuk memikul amanah besar yang diberikan dalam memenuhi aspirasi rakyat.

“Takziah mengingatkan kita bahawa ini adalah satu amanah apabila kita menang besar dan apabila kita diberi amanah ia harus dipukul dengan sebaik-baiknya, sebab harapan rakyat ketika ini begitu tinggi,” ujar Fadillah.

Turut hadir Ketua Setiausaha Politik di Jabatan Premier Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong Fazzrudin Abdul Rahman, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan), merangkap ADUN Samariang, Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali dan ADUN Satok Datuk Ibrahim Baki.

Majlis berkenaan bertujuan meraikan peranan dan sumbangan jentera PBB yang telah berusaha gigih membawa kemenangan kepada calon parti dan GPS hingga mencapai kejayaan cemerlang pada Pilihan Raya Umum lalu. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan