BUKIT MERTAJAM, 27 Jan: Tiga beranak terdiri daripada pasangan suami isteri dan anak lelaki mereka yang dipercayai terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah, dicekup polis dalam serbuan di Bukit Minyak di sini pada Isnin.
Dalam operasi berkenaan polis turut merampas hampir 1.4 kilogram (kg) dadah jenis ganja dan 2.2 kg heroin yang dianggarkan bernilai RM53,265.
Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Superintendan Mohd. Nor Daud, operasi itu membabitkan dua lokasi iaitu di taman permainan kanak-kanak dan rumah suspek.
Ujar beliau, suspek berusia 49 tahun yang menunggang motosikal ditahan bersama satu ketul mampat daun kering disyaki ganja seberat 7.2 gram bernilai RM550 menerusi serbuan pada jam 9 pagi di taman.
“Susulan tangkapan itu, polis menyerbu sebuah rumah teres kira-kira pukul 10.30 pagi dan menahan isterinya berusia 53 tahun dan anak lelaki berusia 22 tahun.
“Polis menemui empat ketul mampat disyaki ganja seberat 1.3 kg bernilai RM20,650 dan 18 paket plastik disyaki heroin seberat 2.2 kg bernilai RM32,065 yang disimpan di rumah itu,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah di sini hari ini.
Tambah beliau, siasatan lanjut mendapati suspek terlibat dalam kegiatan tersebut sejak awal tahun lalu bagi pasaran tempatan.
“Mereka dipercayai menyara hidup dengan kegiatan itu selain si bapa bekerja sebagai buruh kasar, manakala anak tidak bekerja dan isterinya suri rumah.
“Ujian saringan air kencing mendapati kesemua mereka negatif dadah, manakala si bapa ada lapan rekod dadah dan satu rekod jenayah serta anaknya mempunyai dua rekod dadah,” katanya lagi.
Polis turut menyita dua motosikal bernilai RM6,000 bagi siasatan lanjut.
Suspek direman selama seminggu sehingga Selasa depan bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – TVS