KUCHING, 27 Jan: Sektor keselamatan makanan antara beberapa usaha untuk menarik pelaburan dari negara jiran, Brunei Darussalam menyertai pasaran Malaysia terutamanya Sarawak.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan optimis sektor berkenaan yang disertai pelbagai industri merangkumi perikanan, pertanian dan penternakan akan meraih perhatian negera jiran itu.
“Kita (Sarawak) mempunyai hab halal di Tanjung Manis dalam untuk memenuhi keperluan tersebut iaitu ini merupakan satu peluang bagi kita untuk menjalinkan kerjasama,” katanya kepada pemberita selepas Perhimpunan Khas Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (PUSAKA) dan Pelancaran Sambutan Perayaan Jubli Emas PUSAKA di Wisma Sumber Alam pada Jumaat.
Malahan menurut Awang Tengah, pelbagai lagi sektor turut berpotensi menarik pelaburan Brunei merangkumi sektor pembuatan, minyak dan gas dan sektor hiliran petrokimia.
Selain Sarawak menyediakan kemudahan dan fasaliti industri jelas Awang Tengah kolaboratif turut melibatkan perniagaan-ke-perniagaan (B2B) kedua-dua belah pihak yang akan mendorong kepada pelaburan lain.
“(Pelaburan sedia ada) Ia mampu membuka laluan kepada pelaburan dalam mana-mana sektor termasuk pelancongan susulan Lembaga Pelaburan Pembangunan Malaysia (MIDA) dan Agensi Pelaburan Brunei (BIA) telah memeterai memorandum persefahaman (MoU) baru-baru ini sambil disaksikan oleh Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Awang Tengah memberitahu kerja pengukuran sempadan antara Malaysia-Brunei berjalan dengan lancar.
“Setakat ini, pengukuran sempadan antara dua negara tersebut telah mencatat penyukatan sejauh 128 kilometer daripada keseluruhan iaitu 528 kilometer,” jelasnya. – TVS